10 Perkara Yang Akan Jadi Kenangan Rakyat Malaysia Di Piala Dunia 2018

Rating

Selama sebulan kemeriahan dan kehangatan Piala Dunia 2018 menyelubungi rakyat Malaysia.

Bermula dari perlawanan pembukaan membabitkan pasukan tuan rumah, Rusia dan Arab Saudi, kejohanan ini menutup tirai dengan perlawanan akhir membabitkan pasukan Perancis bertemu Croatia.

Perancis berjaya merangkul kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua di dalam sejarah bola sepak mereka. Manakala Croatia mengejutkan ramai pemerhati bola sepak dunia dengan pencapaian luar biasa.

Berikut adalah 10 perkara yang akan dikenang oleh rakyat Malaysia untuk hari-hari mendatang selepas kempen Piala Dunia 2018 berakhir.

1. Jerman tersingkir awal

Memiliki kelompok pemain berpengalaman dan deretan bintang dunia, skuad Die Mannschaft juga merupakan salah sebuah pasukan yang memiliki ramai penyokong di Malaysia dan pilihan utama kejohanan.

Dikejutkan oleh Mexico di perlawanan pertama sebelum menewaskan Sweden 2-1 untuk meniup sekelumit harapan.

Jerman

Tewas 2-0 kepada Korea Selatan di perlawanan terakhir peringkat kumpulan bermakna badi juara bertahan gagal melangkah ke pusingan kalah mati sejak 20 tahun yang lalu diteruskan oleh Jerman.

Rentetan kecundangnya juara bertahan di peringkat kumpulan Piala Dunia adalah bukti bola sepak itu pantas berubah dan berevolusi.

2. Wira K-pop Korea Selatan

Penjaga gol berimej artis K-pop, Cho Hyun Woo menjadi perhatian ramai selepas aksi cemerlang beliau bersama Korea Selatan meskipun pasukan Korea Selatan gagal mara ke kalah mati.

Merupakan nadi penting menyingkirkan juara Piala Dunia 2014, Hyun Woo turut mendapat jolokan David De Gea Asia.

(Photo credit should read ROMAN KRUCHININ/AFP/Getty Images)

Hyun Woo bukan sahaja membuatkan Jerman balik awal dan menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan F.

Tetapi beliau menjadi wira Mexico yang terpaksa mengharapkan keputusan Korea Selatan-Jerman untuk mara ke pusingan seterusnya.

3. G.O.A.T

Piala Dunia 2018 turut dilihat seperti kayu pengukur kepada dua pemain terhebat generasi ini, Lionel Messi (Argentina) dan Cristiano Ronaldo (Portugal).

Tatkala Ronaldo memulakan aksi dengan jaringan hatrik ketika membantu Portugal mengikat Sepanyol, Messi dan Argentina diikat 1-1 oleh pendatang baru kejohanan, Iceland.

4 gol dijaringkan oleh Ronaldo di peringkat kumpulan, kemaraan mereka kemudiannya disekat oleh Uruguay di pusingan kedua.

Hanya 1 gol dijaringkan sepanjang kejohanan ketika menewaskan Nigeria 2-1, Messi dan Argentina dihantar pulang oleh generasi baharu G.O.A.T, Kylian Mbappe dan Perancis.

4. Neymar Roll

Sempat pulih dari kecederaan ketika tugasan di peringkat kelab, Rusia 2018 dicanang sebagai pentas untuk Neymar menyinar bersama Brazil.

Dengan hanya dua gol dipamerkan oleh Neymar sebelum Brazil disingkirkan oleh Belgium di peringkat suku akhir, Neymar lebih banyak dikecam kerana lagaknya berbanding aksi membantu Brazil di atas padang.

Terlalu mudah terjatuh, dan reaksi melampau setiap kali dijatuhkan lawan, aksi Neymar menghasilkan meme serupa yang menjadi ikutan di seluruh dunia.

Hmm..nasib baik gaya rambut diubah menjelang saingan kalah mati.

5. Headline ‘catchy’ Buletin Utama TV3

Ada di kalangan netizen menganggap langkah TV3 menggunakan kata-kata ‘catchy’ ini sebagai kreatif dan menghiburkan.

Antara caption yang menarik perhatian ramai ialah ‘caption’ berkaitan bintang Barcelona, Lionel Messi dan pasukannya Argentina.

Tidak dapat disangkal bahawa pembaharuan yang dilakukan oleh berita sukan di TV3 ini menyebabkan ramai kaki bola tertunggu-tunggu akan caption seterusnya.

Agaknya apakah caption yang akan dipamerkan oleh TV3 untuk sempena kejuaraan yang dimenangi Perancis pada malam ini.

6. Siaran langsung di RTM

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan 41 perlawanan Piala Dunia 2018 melalui saluran mereka yang boleh diakses secara percuma.

Daripada 41 perlawanan tersebut, 27 daripadanya dibawa secara siaran langsung. Bakinya adalah siaran tertunda. Menariknya, terdapat perlawanan yang ditunda hanya 30 minit dari masa sebenar.

Siaran langsung Piala Dunia 2018 di RTM adalah usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan adalah cadangan asal Menterinya, Gobind Singh Deo.

Ditaja sepenuhnya oleh Maxis dan Air Asia, ia adalah salah satu langkah penjimatan dan idea inovatif pihak kerajaan dalam memastikan majoriti rakyat Malaysia tidak perlu membayar lebih untuk menikmati siaran Piala Dunia.

7. Video Assistant Referee (VAR)

Sistem Video Asisstant Referee atau VAR melakukan penampilan pertama meliputi semua 64 perlawanan Piala Dunia di Rusia 2018.

Jelas sekali VAR telah meninggalkan kesan di dalam bola sepak. Sepanjang 62 perlawanan yang berlangsung (tidak termasuk perlawanan akhir dan penentuan tempat ke-3 & ke-4), lebih 440 semakan dilakukan menggunakan VAR, dan 19 daripadanya dilakukan semakan semula.

(Photo by Peter KovalevTASS via Getty Images)

Hasilnya, 16 keputusan pengadil diubah untuk tujuan pembetulan. Walaupun demikian, tidak semua menggemari penggunaan sistem VAR di dalam bola sepak, kerana didakwa mengganggu tempo perlawanan dan juga drama yang merupakan rencah utama sukan ini.

99.32% ketepatan sejak ia dilaksanakan, sekurang-kurangnya kita tahu VAR telah membunuh gol offside.

8. Jepun tawan hati dunia

Jepun mungkin tidak memenangi Piala Dunia. Tetapi negara matahari terbit ini berjaya memenangi hati penduduk dunia, di dalam dan di luar padang.

Di atas padang, skuad Samurai Biru adalah salah sebuah pasukan yang mempunyai disiplin taktikal yang tinggi.

(Photo by Stanislav KrasilnikovTASS via Getty Images)

Seiring dengan semangat ‘kamikaze’, mereka juga tidak gentar tampil dengan corak menyerang, walaupun berhadapan dengan pasukan yang lebih besar. Di pusingan kalah mati, mereka hampir mengejutkan Belgium.

Sikap pembersih pemain dan peyokong di luar padang yang mengumpul sampah dan membersihkan persekitaran stadium dan bilik persalinan turut dipuji, dan menjadi ikutan pasukan lain.

9. Kubur pasukan pilihan

Piala Dunia 2018 turut menyaksikan banyak kejutan dari segi keputusan perlawanan. Pasukan pilihan seperti Jerman, Brazil, Sepanyol, Portugal dan Argentina tersingkir awal.

Kami hanya mempunyai dua konklusi mengenai perkara ini. Pertama, bahawasanya bola sepak itu pantas berubah dan mengalami revolusi secara taktikal.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Buktinya, Jerman menjadi mangsa juara bertahan yang tersingkir awal selepas Perancis (2002), Sepanyol (2010), Itali (2006) adalah antara contoh juara bertahan yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan di kejohanan seterusnya.

Kedua, kami berpendapat bahawa untuk memperolehi keputusan di dalam bola sepak, taktikal jelas memainkan peranan. Kerana taktikal, England mampu layak sehingga ke separuh akhir. Kerana taktikal, Iceland mampu mengikat Argentina. Dan kerana taktikal, Croatia layak sehingga ke perlawanan akhir.

10. Football is Coming Home

Sepertimana Jerman, England juga adalah salah sebuah pasukan yang mempunyai kelompok penyokong yang ramai di Malaysia. Selepas kerap kali terkandas di pusingan awal, harapan di Rusia juga tidak tinggi, dan sekadar memberikan sokongan secara diam-diam.

Namun prestasi cemerlang anak buah Gareth Southagate sehingga layak ke separuh akhir kejohanan, berjaya membangkitkan kembali semangat kebanyakkan mereka dengan slogan ‘It’s Coming Home’.

Sebenarnya slogan ini bukan perkara yang baru mewajahi bola sepak England. Lagu Three Lions (Football’s Coming Home) menemui peminat England pada pertengahan 90-an.

Dan lagu ini diangkat semula dalam kempen England pada kali ini. Inilah ‘mantera’ yang paling kuat dalam propaganda orang England bahawa bola sepak moden pada hari ini dilahirkan di England. Bagaimanapun, England harus terus menunggu untuk bola sepak kembali ke negara mereka.

Penutup

Apakah kenangan Piala Dunia 2018 yang paling anda terkesan? Satu perkara yang pasti, Piala Dunia kali ini turut akan menjadi sebutan semua orang dari generasi ke generasi.

Kongsikan artikel ini kepada rakan anda. Biarlah 4 tahun akan datang, ingatan Piala Dunia 2018 di Rusia kembali memberikan kenangan untuk anda.

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN