Selain Kedah, Pulau Pinang adalah satu lagi pasukan Liga Super yang berani mengetengahkan bakat pemain-pemain muda dalam skuad mereka.
Dari satu segi, mungkin ada yang melihat keputusan Pulau Pinang mengetengahkan pemain-pemain muda dalam skuad senior sebagai satu keputusan strategik demi kestabilan kewangan pasukan, Ini kerana Pulai Pinang merupakan salah sebuah pasukan Liga Super yang berbajet kecil.
Dalam artikel ini kami akan memperkenalkan kepada anda 10 pemain muda bawah 23 tahun untuk anda kenal.
1. Redzuan Suhaidi
Tarikh lahir: 6 Oktober 1995 (22 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Tengah defensif, bek sisi (kanan & kiri)
Menetap di Bayan Lepas, anak bekas pemain Pulau Pinang era 1985, Mohd Suhaidi Bin Zerai ini pernah terpilih mewakili skuad senior kebangsaan pada tahun 2015 ketika kempen kelayakan Piala Dunia menentang Palestin dan UAE.
Memulakan karier beliau bersama skuad Piala Belia Pulau Pinang, Redzuan sudah pun mencipta nama seawal 2015 apabila muncul pemain terbaik perlawanan ketika perlawanan Liga Perdana 2015 diantara Pulau Pinang menetang PKNS.
2. S. Kumaahran
Tarikh lahir: 3 Julai 1996 (21 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Tengah
Ketika di peringkat kanak-kanak dan remaja, S. Kumahraan merupakan aset paling berharga Akademi Bintang Biru dan Sekolah Sukan Mutiara Impian. Pada tahun 2011 dan 2012, Kumahraan diberi peluang pula menjalani latihan bersama pasukan Brazil, Cruzeiro.
Memulakan kariernya di Malaysia dengan bermain untuk pasukan Piala Presiden Pulau Pinang pada musim 2013, Kumahraan kemudiannya diserapkan ke pasukan Harimau Muda C pada tahun 2014 yang beraksi dalam S-League musim 2015.
Jaringan hatriknya ketika perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan B-16 telah membantu Malaysia menang bergaya 4-0 pada perlawanan itu. Kumaahran turut disenaraikan dalam skuad Malaysia B-19 untuk Kejohanan Bola Sepak Remaja Beijing-Hyundai 2014.
3. Mohd Syamer Kutty
Tarikh lahir: 1 Oktober 1996 (21 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Tengah
Ketika kejohanan Pembangunan Bola Sepak Daerah Timur Laut pada tahun 2011, Syamer membantu Penang Free School B-14 menjadi juara. Sejak hari itulah namanya mula disebut-sebut orang ramai.
Digelar Pogba Penang, Syamer memiliki saiz fizikal yang baik. maka tak hairanlah beliau mampu bersaing hebat dengan pemain-pemain senior sejak dari umurnya baru 19 tahun hinggalah sekarang.
Syamer juga pernah mewakili skuad kebangsaan B-17 dan B-20 dalam beberapa kejohanan peringkatan antarabangsa.
4. Jafri Chew
Tarikh lahir: 11 Jun 1997 (20 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Penyerang
Pernah dianugerahkan sebagai penyerang terbaik LIGA KPM pada tahun 2013, penyerang yang berasal dari Butterworth ini telah terpilih untuk mewakili Malaysia sejak tahun 2014.
Jafri pernah mewakili Malaysia dalam aksi kelayakan Piala AFC B-23 di China.
Kini beraksi sebagai penyerang skuad senior Pulau Pinang, Jafri turut mencuri perhatian Nelo Vingada yang sedang berkira-kira untuk membawa beliau ke skuad senior kebangsaan pula.
5. Faizat Ghazali
Tarikh lahir: 28 November 1994 (23 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Penyerang/sayap
The Ghazali Brother – Faizat merupakan adik kepada Failee Ghazali; bekas penyerang sensasi Perak suatu ketika dahulu.
Mesra dipanggil Abi, Faizat mula menceburi dunia bola sepak seawal usia 4 tahun selepas dihantar menyertai Akademi Bola Sepak Bintang Biru di Butterworth.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mutiara Impian ini dahulunya merupakan bekas pemain skuad Harimau Muda A dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Liga Perdana.
Memiliki kelebihan dari segi kelajuan dan keberanian membuat percubaan, Faizat kini sudah menjadi bualan ramai penyokong di Malaysia selepas mendapat peluang bermain dalam skuad utama Pulau Pinang dalam setiap perlawanan.
6. Khairul Akmal
Tarikh lahir: 28 Mei 1998 (19 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Pertahanan Tengah
Juga hasil produk Assumption Bintang Biru Football Academy, Khairul Akmal antara pemain muda yang harus diberi perhatian.
Beraksi cemerlang dalam skuad Piala Presiden, telah membuka mata Zainal Abidin Hassan untuk menyenaraikan nama beliau dalam skuadnya.
Debut pertamanya bersama skuad senior, ketika menentang Felda United di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
7. Afif Azman
Tarikh lahir: 1 Ogos 1998 (19 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Tengah
Menjadikan Safiq Rahim sebagai idolanya, Afif Azman yang kini berusai 19 tahun tekad untuk menjadi antara pemain tengah terbaik di Malaysia suatu hari nanti.
Untuk musim 2017, Afif telah berjaya membantu pasukannya menjaringkan 3 gol dalam saingan Piala Presiden. Antara aset yang berharga untuk Negeri Pulau Pinang dan juga negara suatu hari nanti.
8. Zulkhairi Zulkeply
Tarikh lahir: 2 Mei 1995 (22 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Pertahanan Tengah
Pemain yang berasal dari Bukit Mertajam ini memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Piala Presiden Kedah. Selepas itu, Zulhairi beraksi pula bersama skuad Liga Premier, UiTM FC bermula dari tahun 2014 hingga 2016.
Ketika itulah Zulkhairi mula mendapat tempat di mata Frank Bernhart. Nama beliau disenaraikan menyertai pasukan B-22 tahun negara dalam kejohanan Nation’s Cup 2016.
Kini, Zulkhairi ditawarkan pula peluang untuk menyertai pasukan Pulau Pinang oleh jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan. Namanya pula sering berada dalam kesebelasan utama dalam beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini.
9. Abdul Qayyum
Tarikh lahir: 14 Ogos 1995 (22 Tahun)
Tempat lahir: Pulau Pinang
Posisi: Pertahanan Tengah
Beraksi pada perlawanan akhir Piala Presiden menentang Kelantan tahun 2015, Abdul Qayyum memikul tanggungjawab dan tugas penting selaku ketua pasukan.
Pada musim lepas, Abdul Qayyum pernah diberikan peluang beraksi membantu skuad senior di Liga Super.
Kawalan bola yang tenang apabila diasak lawan membuatkan Abdul Qayyum diberi kepercayaan oleh Nenad Bacina dan Bojan Hodak untuk berada dalam senarai pemain dalam beberapa perlawanan akhir Liga Super 2016.
10. Qayyum Zulkipli
Tarikh lahir: 3 Julai 1996 (21 Tahun)
Tempat lahir: Pasir Mas, Kelantan
Posisi: Pertahanan Kiri
Di lahirkan di Pasir Mas, Kelantan tetapi telah bermastautin di Pulau Pinang sejak berusia 7 tahun lagi, bakat Qayyum Zulkipli mula diberi perhatian selepas beliau hadir untuk ujibakat skuad Piala Presiden Pulau Pinang pada 2014.
Pelajar jurusan diploma kejuruteraan awam di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah ini sering melakukan larian overlapping hingga berjaya memikat hati jurulatih Piala Presiden, Haji Kamal Khalid.