Ketika kebanyakan pasukan gergasi Premier League melabur jutaan pound sterling memperkasakan skuad untuk memenangi kejuaraan liga, Leicester City mengambil pendekatan lain – bermain dengan struktur 4-4-2 yang rigid.
Dalam sistem ini, Leicester City mengajak pasukan lain untuk menyerang mereka sebelum melancarkan serangan balas yang kerap disudahkan oleh Jamie Vardy.
Apa yang menariknya, majoriti serangan balas Leicester dilancarkan melalui hantaran jauh (long ball) dan ini dibuktikan oleh statistik yang dikeluarkan oleh kumpulan penyelidik statistik bola sepak dari Switzerland, CIES Football Observatory.
Leicester no.1 di England dan no.3 di Eropah
Menurut senarai pasukan Eropah yang paling banyak bermain hantaran jauh yang dikeluarkan oelh CIES Football Observatory, Leicester adalah pasukan no.1 di England dan no.3 di Eropah paling banyak bermain hantaran jauh.
Pada musim 2015/2016, Leicester mencatat kadar hantaran jauh sebanyak 7% (93% pula adalah hantaran medium dan pendek). Secara puratanya di Eropah, pasukan berjaya mencatatkan kadar hantaran jauh kurang 3%.
Di Perancis, juara Ligue 1 musim ini PSG hanya mencatat kadar hantaran jauh sebanyak 1.1%. Pasukan Ligue 1 yang paling banyak mencatat hantaran jauh adalah Bastia iaitu sebanyak 6.2%.
Di Sepanyol, Barcelona mencatat 1.4%, Atletico Madrid 2.9% dan Real Madrid pula 2.1%. Eibar adalah pasukan paling banyak membuat hantaran jauh apabila mencatat 6.6%.
Di Jerman, Bayern Munich muncul pasukan paling sedikit mencatatkan hantaran jauh dalam senarai iaitu hanya 1.1%. Borussia Dortmund mencatat 1.6%. Manakala Darmstadt muncul pasukan paling banyak dengan kadar sebanyak 10.7%.
Di Itali, Juventus yang sedang berada dalam landasan terbaik untuk meraih scudetto hanya mencatat 1.6% hantaran jauh. Frosinone yang sedang bergelut dalam zon penyingkiran Serie A adalah yang paling banyak, iaitu sebanyak 6.3%.
Di England, Leicester melanggar trend di liga Eropah lain apabila muncul sebagai pasukan paling banyak melakukan hantaran jauh (7%) dan sedang mendahului liga. Pesaing mereka, Tottenham Hotspurs mencatat 3.1%.
Liga Itali paling tiki-taka
Secara purata, liga Itali Serie A adalah liga paling kurang membuat hantaran jauh iaitu sebanyak 3.8%.
Liga Jerman 1. Bundesliga pula paling banyak, iaitu sebanyak 4.6%. Data untuk liga lain adalah seperti berikut:
- Liga England, Premier League: 4.4%
- Liga Sepanyol, La Liga: 4.4%
- Liga Perancis, Ligue 1: 4.1%
Berikut adalah senarai 10 pasukan di 5 liga utama di Eropah yang paling banyak membuat hantaran jauh:
10. Carpi (6.0%)
9. Sporting Gijon & Caen (6.1%)
8. Bastia & Deportivo La Coruna (6.2%)
7. Frosinone (6.3%)
6. West Brom (6.5%)
5. Eibar (6.6%)
4. Sunderland (6.7%)
3. Leicester (7.0%)
2. Ingolstadt (7.8%)
1. Darmstadt (10.7%)
Baca juga: 10 Pemain Muda Bawah-21 Yang Paling Kerap Bermain Di Eropah