Quantcast

KAJIAN & FAKTA LIGA MALAYSIA

6 Permusuhan Pasukan Yang Berpunca Bukan Kerana Mereka Berjiran

Dalam bola sepak, dua pasukan bukan sahaja bermusuh kerana faktor geografi.

Pasukan juga boleh mempunyai musuh ketat dari kawasan lain kerana hal tertentu. Dan kadang kala, permusuhan itu lebih panas daripada permusuhan dengan pasukan jiran.

Artikel kali ini membawa anda mengenali permusuhan dua pasukan yang diasaskan bukan kerana faktor geografi.

1. Olympique Marseille – Paris Saint-Germain (Perancis)

Dikenali sebagai Le Classique, ia adalah permusuhan antara dua kelab terbesar dalam sejarah bola sepak Perancis sebelum era millennium.

Permusuhan tercetus kerana ia melibatkan dua bandar terbesar di Perancis iaitu Marseille dan Paris.

Antara sebab lain adalah kerana perbezaan dua bandar ini, dimana bandar Paris adalah hub utama golongan bourgeois (bangsawan dan kaya) Perancis. Manakala Marseille pula adalah bandar yang diduduki oleh golongan proletariat (pekerja dan miskin).

PSG dan OM juga adalah satu-satunya dua pasukan Perancis yang pernah memenangi gelaran Eropah.

Permusuhan ini sering mendapat perhatian ‘istimewa’ daripada pihak polis. Sudah banyak insiden buruk berlaku setiap kali penyokong 2 pasukan ini bertembung. Antaranya:

  • 11 April 1995: 146 penyokong ditangkap dan 9 pegawai polis dikejarkan ke hospital.
  • 13 Oktober 2000: Penyokong Marseille berusia 18 tahun lumpuh seumur hidup selepas dibaling dengan kerusi tempat duduk penonton oleh penyokong PSG.
  • 10 Februari 2002: Beberapa kenderaan dibakar, kebakaran berlaku di dalam Parc Des Princes.
  • 25 Oktober 2009: Penyokong PSG dilanggar lari oleh sebuah kereta.
  • 28 Februari 2010: Seorang penyokong Marseille koma selepas dipukul oleh sekumpulan penyokong PSG. Mangsa kemudiannya mati pada 18 Mac 2010.

Kini, dengan kuasa kewangan yang ada, PSG lebih mendominasi saingan antara dua kelab ini.

PSG merupakan pasukan paling banyak menang dalam perlawanan ini dengan 36 kemenangan dan Zlatan Ibrahimoivch adalah penjaring terbanyak dengan 9 gol.

2. Internazionale – Juventus (Itali)

Nama perlawanan ini adalah Derby d’Italia. Mengapa? Kerana ia melibatkan dua pasukan yang paling berjaya dalam bola sepak Itali. Masing-masing dari bandar Turin dan Milan.

Dua pasukan ini sahaja sudah membolot 78 kejuaraan Serie A, Coppa Italia dan Supercopa Italiana.

Derby d’Italia sering dipalit kontroversi dan bagi penyokong Internazionale dan Juventus, Derby d’Italia pada musim 1960/1961 adalah akar umbi kebencian dua penyokong pasukan ini.

Pada musim 1960/1961, apabila Internazionale menjaringkan gol kemenangan ke atas Juventus, penyokong mereka meraikan go, tersebut dengan berlari ke padang. Sedangkan perlawanan masih lagi belum habis.

Perlawanan terpaksa dihentikan kerana permukaan padang yang telah rosak. Pada mulanya Lega Calcio memberi kemenangan kepada Internazionale.

Tetapi hasil rayuan daripada Juventus, Lega Calcio menarik balik keputusan mereka dan mengarahkan perlawanan ulangan diadakan balik.

Presiden Internazionale pada ketika itu, Angelo Morrati nyata amat berang dengan keputusan itu dan mendakwa keputusan itu dipengaruh oleh presiden Persatuan Bola Sepak Itali ketika itu, iaitu Umberto Agnelli.

Untuk pengetahuan anda, keluarga Agnelli merupakan pemilik syarikat pembuat kereta FIAT yang mengambil alih Juventus pada era 1920-an.

Apabila perlawanan ulangan diadakan, Internazionale menurunkan barisan pemain muda sebagai tanda protes. Maka tak hairanlah Internazionale tewas 1-9.

3. Aberdeen – Rangers (Scotland)

Aberdeen merupakan pasukan yang tiada musuh setempat di kawasan mereka. Manakala Rangers mempunyai Celtic di Glasgow. Tetapi ia tidak menghalang permusuhan antara dua kelab ini menjadi semakin menebal.

Bagi penyokong Aberdeen, permusuhan dua kelab ini bermula pada 1980 apabila pemain Rangers, Willie Johnston memijak leher pemain mereka, John MacMaster ketika perlawanan Scottish League Cup.

Bagi penyokong Rangers, punca permusuhan mereka dengan Aberdeen berpunca daripada dominasi Aberdeen (yang diurus oleh Sir Alex Ferguson) dalam saingan domestik dan Eropah pada awal 80-an.

Dominasi Aberdeen membuatkan penguasaan duo kelab Old Firm ini terhenti seketika.

Pada 1988, penyokong Rangers mempunyai satu lagi sebab untuk membenci Aberdeen apabila pemain mereka, Ian Durrant diterjah keras oleh pemain Aberdeen, Neil Simpson. Terjahan itu membuatkan Ian Durrant terpaksa berehat selama hampir 3 tahun.

Selepas 3 tahun merawat kecederaannya, Durrant bukan lagi pemain sama yang memukau penyokong Rangers.

4. Borrusia Dortmund – Bayern Munich (Jerman)

Perlawanan yang digelar der Klassiker ini melibatkan dua pasukan – Borussia Dortmund dan Bayern Munich – dan bermula pada tahun 1994.

Fasa pertama permusuhan ini adalah ketika Dortmund dilihat cuba memecah dominasi Bayern pada pertengahan 90-an dengan memenangi 2 gelaran Bundesliga (musim 1994/1995 dan 1995/1996) dan 1 gelaran UEFA Champions League (musim 1996/1997).

Apabila pemain dan penyokong Dortmund meraikan kejayaan menjulang trofi Champions League di bandar Munich, ia membuatkan penyokong Bayern lebih tak puas hati. Ini sekaligus menambah rencah permusuhan antara dua kelab.

Fasa kedua permusuhan ini bermula pada tahun 2010 apabila Dortmund menang 5 perlawanan berturut ke atas Bayern. Bagaimanapunn mereka gagal menewaskan Bayern dalam perlawanan akhir UEFA Champions League 2013.

Ego Dortmund juga semakin tercalar apabila rekod pungutan mata dalam Bundesliga yang dicipta mereka dipecahkan oleh Bayern semusim selepas mereka menciptanya.

Perpindahan pemain Dortmund seperti Robert Lewandowski dan Mario Götze ke Bayern menambah lagi dendam kedua-dua penyokong pasukan.

5. Leeds United – Manchester United (England)

Pertarungan ini berakar umbi dari peperangan antara dua daerah di England iaitu Lancashire dan Yorkshire yang dikenali sebagai War of the Roses pada kurun ke-15.

Justeru, nama perlawanan ini dikenali sebagai Roses Derby.

Pertembungan ini hangat di luar dan di dalam padang. Di luar padang kerana adanya dua gerakan hooligan iaitu Service Crew (Leeds United) dan Red Army (Manchester United) yang aktif sekitar era 1970-an.

Bagaimanapun apabila masuk era 1980-an, pengaruh hooligan mula berkurangan dan dapat dibendung.

Pertarungan ini ada pasang-surutnya apabila Leeds pernah jatuh ke liga bawahan pada 1982. Namun Leeds kembali pada 1990 sebelum jatuh semula pada 2004.

Dalam satu bancian, penyokong Leeds masih memandang United sebagai musuh utama mereka.

Namun bagi penyokong United, mereka menganggap Liverpool, Manchester City, Chelsea dan Arsenal adalah musuh utama mereka.

6. Selangor – Singapura (Malaysia)

selsin

Sesetengah peminat Liga Malaysia merasakan pertembungan antara Pahang dan JDT adalah ibarat El Classico. Namun bagi penulis, inilah El Classico ala Malaysia yang sebenar walaupun ia sudah tidak lagi wujud.

Pertembungan ini dikenali sebagai ‘Pertembungan Utara-Selatan’ kerana bagi rakyat Singapura, Selangor itu sudah cukup utara untuk mereka.

Selain itu, Selangor dan Singapura pula adalah 2 pasukan paling berjaya dalam bola sepak Malaysia sejak lamanya.

Bermula 1921, kedua pasukan ini sering berebut gelaran Piala Malaysia sehingga jarang kita lihat pasukan lain yang menjuarainya.

Selangor memenangi 33 kejuaraan Piala Malaysia manakala Singapura memperoleh 24 kejuaraan, satu jumlah yang masih jauh untuk pasukan lain untuk mengejarnya.

Permusuhan ini terhenti pada 1994, apabila Singapura membuat penampilan terakhir di Liga Malaysia sebelum mengundur diri dengan menjuarai Piala Malaysia 1994.

Pada 2002, Piala Sultan Selangor diwujudkan untuk mengingat kembali nostalgia permusuhan antara dua pasukan ini.

Baca juga: 8 Derby Panas Yang Dipisahkan Oleh 2 Liga Berbeza

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!