Zinedine Zidane dikritik selepas melakukan perubahan besar-besaran dalam skuadnya ketika tewas 3-2 bertemu Sevilla awal pagi tadi di Estadio Ramon Sanchez Pizjuan.
Pengurus berusia 45 tahun itu tampil untuk mempertahan tindakannya dengan mengatakan bahawa beliau tidak kisah dengan apa yang orang fikirkan mengenai pemilihan pemainnya.
Zidane melakukan tujuh pertukaran di kesebelasan utama akibat penggantungan, kecederaan untuk membawa masuk beberapa pemain yang jarang diturunkan musim ini.
Antara pemain yang diketepikan ialah Cristiano Ronaldo, Isco dan Davi Carvajal yang mengalami kecederaan manakala Gareth Bale pula digantung permainan.
Dalam pada itu, Toni Kroos, Luka Modric, Keylor Navas dan Marcelo juga turut direhatkan pada perlawanan bertemu Sevilla.
”Kami mempunyai banyak perlawanan dan beberapa orang perlu direhatkan,” jelas Zidane bercakap kepada wartawan.
”Kami akan menghadapi perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah pada 26 Mei dan saya tidak kisah tentang apa yang orang fikirkan (mengenai penggiliran pemain). Saya merupakan jurulatih dan saya yang akan memilih.”
”Apabila anda melihat pasukan yang saya turunkan, saya fikir ia adalah pasukan yang boleh menang.”
”Apabila anda kalah, anda tidak boleh gembira tetapi ia tidak menjejaskan apa yang kami lakukan sehingga tamat musim nanti.”
Pada perlawanan bertemu Sevilla, Real Madrid ketinggalan tiga gol dan lebih memeritkan buat Los Blancos apabila Sergio Ramos gagal menyempurnakan sepakan penalti dan turut menghasilkan jaringan sendiri.
Dua jaringan lewat permainan menerusi Borja Mayoral dan sepakan penalti dari Ramos belum cukup untuk menghalang kemenangan Sevilla pada perlawanan ini.