Kerajaan Bertukar Tangan, 4 Kesan Perubahan Politik Kepada Bola Sepak Di Malaysia

Rakyat Malaysia sudah pun memilih kerajaan persekutuan yang baru.

Kami ucapkan tahniah ke atas rakyat Malaysia yang sudah menyuburkan amalan demokrasi di negara kita walaupun apa jua parti yang anda undi.

Pilihanraya umum ke-14 di Malaysia telah pun diadakan pada 9 Mei 2018. Dan buat pertama kali, rakyat Malaysia memilih untuk menukar parti/pakatan pemerintah pada kali ini.

Perubahan iklim ini akan memberikan kesannya yang tersendiri kepada landskap bola sepak Malaysia. Ada 4 kesan utama politik Malaysia kepada bola sepak.

1. Menteri sukan

Apa sahaja nama jawatan itu selepas ini, asalkan ada kaitan dengan sukan dan bola sepak, ianya wajar untuk dibincangkan di sini. Sebelum ini, jawatan Menteri Belia dan Sukan dipegang oleh YB Khairy Jamaluddin.

Cabaran untuk menteri yang akan memegang jawatan ini adalah untuk memastikan sukan bola sepak terus diberikan perhatian. Sebelum ini Khairy Jamaluddin boleh dikatakan antara orang terbaik untuk jawatan ini.

Dasar dan pengurusan mereka juga penting dalam memastikan ramai pihak mahu terlibat dalam program yang mereka laksanakan termasuk penaja-penaja yang besar.

Satu penanda aras yang baik ditinggalkan beliau. Antara program yang signifikan dengan Khairy Jamaluddin pastinya program NFDP, penubuhan Akademi Mokhtar Dahari dan banyak lagi program lain.

YB Khairy Jamaluddin Adalah Watak Penting Membawa Pulang Lim Teong Kim Ke Malaysia. Foto: NORAFIFI EHSAN / The Star.

Pada pandangan kami, jawatan ini sangat mencabar untuk digalas oleh mana-mana pemimpin baru.

Dan harus diakui, bola sepak sentiasa menjadi sukan yang mampu memberikan aura tersendiri kepada seorang pemimpin jika mereka berjaya mencapai sesuatu.

2. Presiden FA Negeri

Persatuan bola sepak dengan label FA Negeri pastinya akan terkesan terus oleh keputusan yang melibatkan Dewan Undangan Negeri. Politik dan bola sepak terlalu dekat dengan pasukan bola sepak negeri dan pasukan di bawah FA Negeri.

Sebagai contoh, di Kedah, sudah pastinya Datuk Seri Ahmad Bashah akan melepaskan jawatan tersebut. Itu yang berlaku sebelum ini kepada Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Lalu pemilihan akan dilakukan oleh kerajaan negeri. Pemimpin baru dalam persatuan sudah pastinya akan menjadi perhatian ramai pihak. Ini adalah salah satu kelemahan apabila badan bola sepak itu berkait langsung dengan organisasi politik.

Seperti hujah di atas, bola sepak antara perkara penyumbang yang mampu memberikan reputasi yang baik kepada pemimpin politik di Malaysia bagi meneruskan kelangsungan legasi politik mereka. Ini kerana sukan ini adalah sukan no.1 di hati rakyat Malaysia di setiap negeri.

Siapakah yang akan menjadi presiden selepas ini untuk negeri-negeri yang bertukar tangan dalam parti pemerintah.

3. Dasar 

Dari segi dasar, setiap parti pastinya ada cara tersendiri dalam dasar mereka. Jadi, transisi ini pastinya perlu dilakukan secara sistematik.

Mungkin akan ada dasar untuk mengurangkan beban perbelanjaan kepada pasukan kebangsaan ataupun pasukan yang di bawah FA Negeri masing-masing. Adakah mereka akan lebih serius dalam isu berkaitan dengan bola sepak berbanding dengan pemimpin sebelum ini?

Seterusnya isu konflik kepentingan di antara pelbagai pihak juga dijangka akan berlaku dalam proses transisi kerajaan ini.

Sebelum ini, kita melihat kesukaran dihadapi Selangor FA untuk mendapatkan hak bermain di stadium Shah Alam. Salah satu daripada sebabnya adalah campur tangan politik.

Sehinggakan ada parti yang menjadikan isu Selangor bermain di Stadium Shah Alam sebagai salah satu manifesto mereka.

4. Perlaksanaan program

Dengan perubahan kepimpinan pastinya memberikan impak kepada perancangan oleh sesuatu organisasi. Ada beberapa perkara perlu diteruskan walaupun dipimpin orang berbeza.

Perkara ini memerlukan pihak daripada 2 pandangan politik berbeza membuang ego masing-masing demi kepentingan objektif sesebuah program.

Seterusnya, cetusan idea baru yang segar juga akan sentiasa menjadi perkara yang akan digunakan oleh pemimpin baru dalam memacu hala tuju organisasi mereka.

Jadi, sebagai penyokong bola sepak, kita sudah pasti mahu tahu apakah program baru dan apakah yang akan berlaku kepada program sebelum ini terutama sekali yang sedang berjalan.

Rumusan

Sememangnya bola sepak itu perlu bebas daripada politik. Tetapi di negara kita, isu ini sangat sukar untuk dijelaskan. FA Negeri masih tertakluk di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Untuk jawatan menteri sukan, ianya setakat ini tidak secara terus berada dalam organisasi bola sepak. Namun dasar dan perancangan mereka ke atas pembangunan bola sepak adalah penting.

Selamat bertugas kepada semua yang berkaitan.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN