Jika diberi satu pilihan, mana yang anda ingin kecapi? Kejuaraan liga atau kejuaraan benua?
Jawapan kita mungkin berbeza-beza, tapi bagi Zinedine Zidane beliau lebih gemarkan kejuaraan benua.
Menurut pengurus Real Madrid itu, memenangi kejuaraan peringkat benua seperti UEFA Champions League (UCL) adalah satu kepuasan terhebat yang dimiliki oleh seorang pengurus jika memenanginya.
Kepuasan itu jelas terpancar pada diri beliau apabila pasukannya kini dalam misi untuk memenangi gelaran ke-13 UCL apabila bertemu Liverpool di Kiev, Ukraine kelak.
Perlawanan akhir itu juga merupakan perlawanan yang bakal menyaksikan Real Madrid bakal mempertahankan gelaran Eropah yang dimenangi mereka pada musim lalu selepas menumbangkan Juventus di perlawanan akhir.
Bagi Zidane, memenangi UCL merupakan satu sasaran yang mahu dikecapi oleh semua orang.
“Kejuaraan Eropah merupakan satu kejuaraan yang mahu dimenangi oleh semua pihak.”
“Kami kini di perlawanan akhir dan kami mahu mempertahankan gelaran yang kami miliki.”
Walaupun lebih gemarkan memenangi kejuaraan Eropah, Zidane tidak menolak nikmatnya memenangi kejuaraan liga seperti La Liga.
“Saya akui La Liga merupakan pertandingan paling sukar di dunia. Namun begitu, memenangi kejuaraan Eropah juga yang memberikan kegembiraan yang terhebat.”
Zidane komited mahu menamatkan musim La Liga mereka dengan kemenangan dalam perlawanan terakhir liga di laman sendiri.
Mereka bakal bertemu Celta Vigo di Santiago Bernabeu.