Jurulatih Real Madrid telah memberi indikasi paling jelas bahawa beliau sedia berundur daripada mengendalikan Los Blancos pada akhir musim ini.
Zidane cemerlang pada 18 bulan pertama mengendalikan Real. Menjuarai kejuaraan UEFA Champions League (UCL) selama dua musim berturut-turut, juara La Liga pada musim lalu, diikuti oleh gelaran Anugerah Jurulatih Terbaik FIFA 2017, segalanya bermula dengan sempurna buat bekas kapten Perancis itu.
Namun kempen Zidane bersama Real Madrid pada musim ini menyaksikan mereka ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona sebelum disingkirkan oleh Leganese di peringkat suku akhir Cope del Rey menimbulkan persoalanan.
Kaedah pengurusan dan taktikal beliau mulai dipersoal oleh ramai, termasuk di kalangan penganalisa sukan terkemuka.
Sekurang-kurangnya kemenangan 3-1 ke atas PSG pada Rabu lalu memberikan sedikit ruang buat Zidane dan pemain-pemainnya untuk bernafas.
Tetapi di dalam satu sidang media pada Sabtu, Zidane berkata tugasan dan tanggungjawab bersama Real adalah sesuatu yang memenatkan, sekaligus menimbulkan persoalanan sekiranya Zidane bakal mengendalikan Real Madrid melangkaui musim ini.
Zidane berkata:
“Di dalam pengurusan bola sepak, akan akan cepat rasa penat. Apatah lagi di Real Madrid. Sudah tentu akan ada perubahan apabila tiba masanya. Bagi jurulatih, masanya turut akan tiba untuk perubahan.”
“Bagi saya, cabaran bersama Real Madrid akan ditempuhi hari demi hari. Saya mahu menamatkan musim ini. Masih ada perkara yang boleh diperjuangkan, dan fokus saya hanya berada di situ. Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara lain.”
Zidane dipetik sebagai berkata demikian dalam satu sidang media menjelang pertemuan menentang Real Betis pada hari ini.
Zidane turut menjelaskan bahawa keputusan menurunkan Isco di bahagian tengah ketika menentang PSG adalah perkara berkaitan taktikal selepas mengkaji permainan lawan.
“Anda perlu membuat keputusan. Saya mahukan semua pemain sentiasa bersedia. Mereka tampil bersedia pada Rabu lalu. Saya mahu bermain menggunakan formasi diamond di bahagian tengah ketika menentang PSG.”
“Sekarang kita masih perlu berhadapan dengan banyak perlawanan, dan saya mengharapkan para pemain sentiasa bersedia,” tambah Zidane mengulas mengenai komitmen pemain-pemainnya.
Real Madrid berada di kedudukan ke-4 di La Liga dan bakal berhadapan dengan jadual domestik yang sibuk sebelum berkunjung ke Paris.
Menanti Zidane dan anak buahnya ialah perlawanan menentang Real Betis, Leganese, Alaves, Espanyol dan Getafe. Kemudian Zidane dan skuad kendaliannya akan ke Paris untuk melakukan perhitungan dengan PSG.
Dan Zidane menegaskan, kaedah terbaik untuk melakukan persediaan menjelang perlawanan penting itu ialah dengan memberi fokus kepada setiap perlawanan di La Liga.