Analisis: Formasi 4-3-3, Paul Pogba & Taktikal Mourinho Yang Paranoid

Setelah memenangi dua trofi kejuaraan pada musim lalu, dan membawa Manchester United berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL). Di atas kertas ia tampak seperti Jose Mourinho telah berjaya melakukan tugas beliau.

Namun kekalahan di tangan Tottenham Hotspur dan Newcastle United, sukar sekali untuk menilai sama ada Jose Mourinho telah melakukan penambahbaikkan di Manchester United sejak tiba di Old Trafford pada Jun 2016.

Laporan di Britain baru-baru ini melaporkan krisis di antara Paul Pogba dan Jose Mourinho. Perkara tersebut pantas dinafikan oleh pengendali Portugis itu.

Jadi apakah faktor di sebalik prestasi tidak menentu Manchester United. Ikuti analisis ringkas kami.

Sistem formasi Mourinho yang paranoid

Bagi yang mengikuti Manchester United sejak awal era 90 an, anda pasti mengingati bagaimana Sir Alex Ferguson membina skuad kendaliannya.

Di era Sir Alex, 4-4-2 adalah formasi pilihan pengendali dari Scotland itu. Ideanya ialah menggunakan kelebihan dua pemain sayap (kepantasan dan ketepatan hantaran), dan dua pemain tengah (seorang box-to-box dan seorang klasik midfielder).

Ianya amat mudah. Bertahan sebagai sebuah unit, menyerang juga sebagai sebuah unit; dengan kebolehan individu di dalam pasukan dituntut sepenuhnya.

Sumber: Zonal Marking. 4-4-2 Sir Alex Ferguson

Namun demikian, ia adalah era yang berbeza. Ia menuntut fungsi setiap pemain yang lebih objektif sebagai sebuah pasukan. Ini menjadikan tempo permainan sepanjang 90 minit perlawnanan semakin pantas.

Ingatkah anda bagaimana taktikal Mourinho yang disifatkan ultra-defendsive ketika menentang Liverpool?  Pada satu-satu masa, ia kelihatan seperti Manchester United menggunapakai 6 pemain pertahanan.

Hakikatnya, bahagian tengah United turut diberikan tugas untuk melakukan tugas pertahanan.

Bermain sebagai sebuah pasukan, anda mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam melakukan tugas pertahanan. Namun ia bukan peranan hakiki oleh pemain di posisi lain selain pertahanan.

 

Begitu juga ketika mereka tewas kepada Newcastle United baru-baru ini. Ada masanya, pemain seperti Martial, Lingard dan Sanchez  diberikan peranan sehingga bertahan di garisan rendah.

Bagaimanapun, untuk memenangi perlawanan anda harus menjaringkan gol untuk mempunyai kelebihan. Taktikal sedia ada seolah-olah Mourinho terlampau memberi penekanan kepada tugas bertahan pasukannya.

Persoalannya sekarang ialah, adakah Manchester United menjaringkan cukup gol untuk memenangi perlawanan? Atau adakah taktikal Mourinho lebih kepada tindakan paranoid untuk tidak tewas semata-mata?

Ralat taktikal Mourinho?

Bagi penyokong Manchester United yang mengikuti perkembangan karier Pogba bersama Juventus, anda pasti mahukan Pogba beraksi di dalam sistem tiga pemain tengah.

Di Turin, Pogba beraksi di bahagian tengah di dalam sistem tiga pemain tengah. Seorang pemain tengah pertahanan dan seorang lagi pemain kotak-ke-kotak (box-to-box), akan mengapit Pogba.

Sejak kembali ke Old Trafford, peranan itu berubah buat Pogba. Mourinho lebih gemar memeberikan peranan pivot di dalam sistem 4-2-3-1.

Sistem ini tidak mempunyai masalah ketika Manchester United berhadapan dengan pasukan yang lebih lemah. Ini adalah kerana Pogba akan lebih bebas beraksi membantu bahagian serangan, menjadikan formasi ini serupa 4-1-4-1.

Namun ketika menentang pasukan yang lebih baik, Pogba dipaksa untuk bertahan di dalam sistem ini. Di sebalik kecemerlangan bersama Juventus sebelum ini, Pogba masih mempunyai masalah disiplin di  dalam aspek positioning; sekaligus memberikan masalah kepada pemain ini dalam sistem pertahanan Mourinho.

Sumber: WhoScored. Heat map Pogba ketika tewas kepada Newcastle United.

Walaupun berada di posisi pivot memberikan kelebihan kepada United untuk menggunakan kehadiran Pogba di kedua-dua belah padang, ia tetap tidak membenarkan pemain ini menunjukkan potensi sebenar pemain tersebut.

Sumber: WhoScored. Heat map Pogba ketika tewas kepada Tottenham Hotspur.

Perhatikan heat map Pogba ketika Manchester United tewas kepada Tottenham Hotspur Newcastle United dan dalam dua perlawanan sebelum ini.

Secara taktikal, Pogba telah berjaya menjalankan tugas yang diberikan kepadanya. Namun demikian, Mourinho masih tidak mendapat keputusan yang diharapkan penyokong

Ralat taktikal pada sistem Mourinho?

Formasi 4-3-3 vs Everton

Tugas utama seorang pengurus bola sepak ialah untuk memaksimakan bakat yang beliau miliki di dalam pasukan. Salah satu kritikan yang Mourinho sering terima ialah kegagalan beliau untuk mencari satu sistem untuk pemain terbaik yang beliau miliki.

Di kebanyakkan perlawanan, Mourinho gemar menggunakan formasi 4-2-3-1. Sistem ini jelas gagal diadaptasi secara maksimum oleh pemain beliau.

Kini ramai yang merasakan 4-3-3 adalah formasi yang lebih realistik untuk pemain seperti Paul Pogba, Marcus Rashford, Alexis Sanchez dan juga Anthony Martial.

Sejauh manakah kebenaran itu? Formasi 4-3-3 sebenarnya bukan asing buat United dan Mourinho. Antara perlawanan di mana United beraksi dengan cemerlang menggunakan sistem ini ialah ketika mencatatkan kemenangan 2-0 di Goodison Park pada awal Januari lalu.

Sumber: WhoScored. Heat map Pogba ketika menang ke atas Everton.

Perhatikan heat map Pogba di atas. Di dalam perlawanan ini, Pogba berupaya mengeksploitasi dengan bebas kelemahan lawan. Di dalam perlawanan menentang Everton, kita boleh melihat bagaimana Pogba membantu serangan daripada sebelah kiri.

Hasilnya, dua bantuan gol dihasilkan di dalam perlawanan ini. Ia adalah antara persembahan terbaik Pogba pada 2018, dan ia mengunapakai formasi 4-3-3.

Ini adalah perlawanan terakhir Manchester United menggunapakai formasi ini sehingga perlawanan pada awal pagi tadi dalam kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield.

Mengembalikan peranan asal Matic

Formasi 4-3-3 bukan sahaja memberi kelebihan kepada Pogba. Ia turut memberi kelebihan kepada Nemanja Matic yang yang dibeli dengan tujuan untuk menjadi pemain sokongan kepada pemain Perancis itu di bahagian tengah.

Apabila mengandingkan kedua-dua pemain untuk melakukan tugas pertahanan, ia sebenarnya memberikan bebanan tugas yang berlebihan kepada Matic.

(Photo by Matthew Peters/Man Utd via Getty Images)

Sepertimana yang dibincangkan tadi, Pogba tidak mempunyai disiplin seorang pemain pertahanan. Ini sekaligus membuatkan Matic terpaksa melakukan dua tugasan pada satu masa.

Akibatnya, United hilang kawalan di bahagian tengah sepertimana ketika tewas kepada Tottenham Hotspur.

Ketika membantu Chelsea menjuarai EPL pada musim lalu, Matic menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai pivot tunggal, dengan N’golo Kante menjadi pemain box-to-box seperti yang kita harapkan pada Pogba, apabila kedua-duanya digandingkan.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Untuk berlaku adil kepada Mourinho, satu-satunya masalah yang dialami oleh beliau di posisi tengah United ialah kualiti pemain yang ada.

Selain daripada Matic dan Pogba, Ander Herrera bergelut dengan masalah prestasi pada musim ini. Manakala Marouane Fellaini dan Michael Carrick bergelut dengan kecederaan dan kecergasan,

(Photo by Matthew Peters/Man Utd via Getty Images)

Scott McTominay (gambar atas) telah menunjukkan beliau mempunyai kualiti yang diperlukan oleh Mourinho dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Namun demikian, pemain muda ini masih memerlukan masa untuk digilap untuk menampilkan konsistensi. Maka tidak hairanlah jika seorang pemain tengah menjadi keutamaan Mourinho di jendela perpindahan berikutnya.

Sesuai dengan sistem ‘inverted winger’

Dengan pemain seperti Rashford, Martial, Mata dan Sanchez di dalam senarai, Manchester United beraksi dengan sistem ‘inverted winger’ di setiap sisi serangan yang mengapit Romelu Lukaku.

Sistem 4-3-3 menjanjikan corak permainan yang lebih fluid dalam serangan. Sistem ini turut membenarkan pemain memainkan peranan masing-masing di setiap fasa permainan.

Contoh larian overlap oleh bek kiri.

Contohnya ketika serangan, bek kiri akan melakukan larian ke atas untuk melakukan overlap. Di sinilah peranan ‘inverted winger’ mengambil tempat, dengan melakukan larian ke sebelah dalam, untuk membuka ruang ataupun untuk melakukan percubaan.

Maka kehadiran pemain sayap seperti Rashford, Martial, Sanchez dan Mata akan memberi lebih banyak pemain, selain daripada Lukaku yang berfungsi sebagai target man.

Contoh peranan Inverted Winger.

Penutup

Apa pendapat penyokong Manchester United? Wajarkah Jose Mourinho melakukan perubahan kepada sistem dan taktikal beliau pada baki perlawnanan akan datang?

Kami yakin penyokong United gemar melihat pasukan mereka mencatat kemenangan. Adakah 4-2-3-1 relevan untuk Red Devils mencapai kemenangan?

Berikan pendapat anda kepada kami. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN