Era penswasataan Liga Malaysia boleh dikatakan baru memasuki peringkat awal pelaksanaannya.
Namun begitu, setakat ini masih lagi pelbagai masalah yang berlaku terutamanya melibatkan transisi pentadbiran dari persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC).
Situasi ini membuatkan pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham menganggap proses penswastaan Liga Malaysia akan gagal.
Menurut Zamsaham, penswastaan Liga Malaysia yang bakal dilaksanakan sepenuhnya pada 2023 akan gagal disebabkan oleh pelbagai perkara.
“Saya rasa penswataan bola sepak di Malaysia ini tidak teratur kerana banyak sebab.”
“Saya dah laluinya, saya nampak akan potensi kegagalan penswastaan sistem bola sepak Malaysia,” kata Zamsaham di Facebook miliknya.
FAM dipersoal
Dalam masa yang sama, Zamsaham juga mempersoal kredibiliti FAM sebagai badan induk bola sepak negara.
Beliau mempersoal skop kerja FAM dalam usaha untuk memastikan penswastaan Liga Malaysia berjaya dilaksanakan dengan baik.
“apakah tugas FAM dalam menguruskan penswastaan? Saya tak nak duit FAM.”
“Saya sendiri lalui prosesnya dan saya tahu tahap mana mereka membantu.”
Sekadar cabaran atau tiada harapan?
Perkara yang disuarakan oleh Zamsaham ini memberikan gambaran sama ada bola sepak Malaysia boleh diselamatkan atau tidak.
Ketika ini, majoriti pasukan bergelut dengan isu gaji tertunggak serta kebergantungan kepada kerajaan negeri yang masih lagi kuat.
Tempoh yang diberikan oleh Malaysian Football League (MFL) untuk penswastaan penuh diadakan pada 2023 dilihat masih memberi peluang untuk kesemua pasukan menjadi pelabur berpotensi untuk dibawa masuk.
Namun begitu, 2022 juga sudah semakin hampir dan gerak kerja perlu dilakukan dengan sepantasnya.
Diharap apabila 2023 tiba, MFL akan bertindak tegas kepada pasukan yang gagal memenuhi syarat penswastaan penuh.
Semoga ditahun-tahun mendatang akan ada landskap yang lebih baik dalam bola sepak Malaysia, walaupun ketika ini agak samar.