Bola sepak moden pada hari ini tidak lagi semudah seperti apa yang pernah kita lihat sebelum ini. Pemilikan kelab bola sepak misalnya dilihat sebagai salah satu aspek pemodenan yang mampu memartabatkan sesebuah pasukan.
Namun pada masa yang sama ia juga mampu mengundang musibah sekiranya tidak diurus dengan betul tanpa memahami garis panduan profesionalisme yang sepatutnya.
Tatkala pemilikan sesebuah kelab bola sepak bertujuan melancarkan pengurusan sesebuah kelab terutama dari segi urus tadbir, pasukan itu sendiri harus diurus secara profesional oleh seorang jurulatih yang mempunyai pengetahuan di dalam bola sepak.
Sebagai jurulatih, mereka harus diberi kebebasan untuk memilih taktikal yang mahu diterapkan di dalam perlawanan, dan pemain pilihan mereka sendiri untuk membarisi kesebelasan utama.
Selain hal-hal urus tadbir, pemilik juga boleh menuntut falsafah dan DNA bola sepak tertentu – namun itu tidak bererti mereka boleh sewenang-wenangnya campur tangan dalam urusan pasukan.
Jika ianya berlaku, maka apalah ertinya sesebuah pasukan atau kelab bola sepak itu berstatus profesional?
Perkongsian ZamSaham cetus tanda tanya
Terbaru, perkongsian Zamsaham melalui akaun Facebook beliau baru-baru ini mencetuskan tanda tanya segelintir peminat bola sepak.
Seperti yang kita semua tahu, Zamsaham atau pun nama sebenarnya Norizam Bin Tukiman adalah pemilik Kelantan FC yang beraksi di saingan Liga Malaysia, dan juga PSPS Riau FC yang bersaing di Liga 2 Indonesia.
Melalui perkongsian di akaun Facebook peribadinya semalam, Zamsaham secara terang-terangan berkata beliau telah memohon agar PSPS Riau FC menurunkan penjaga gol muda, Riski Sudirman dalam perlawanan menentang PSMS Medan FC semalam.
“Permohonan saya supaya masukkan Riski Sudirman sebagai Goal Keeper hari ini berhasil.Beri peluang kepada org muda. ALHAMDULILLAH, Psps Riau FC kita menang 1-0,” ujar usahawan itu semalam.
MANTAAPPP 🔥🔥🔥 pic.twitter.com/sEkUZGcxf7
— PSPS Riau (@pspsriau) October 20, 2021
Dalam perlawanan saingan Kumpulan A Liga 2 Indonesia tersebut, PSPS Riau FC menang 1-0 hasil jaringan Muhammad Sanjaya pada minit ke-72 perlawanan.
Zamsaham mungkin tidak menyedari tindakan tersebut secara langsung bermakna ia adalah contoh campur tangan pemilik dalam urusan pasukan yang merupakan perkara tidak sihat di dalam bola sepak profesional.
Harus lebih berhati-hati
Zamsaham mulai membabitkan diri di dalam arena bola sepak apabila membeli pegangan pasukan Kelantan FC pada September 2020.
Usahawan burger dan perhotelan itu kemudiannya membeli kelab Indonesia PSPS Riau pada Mei lalu.
Dari segi pengalaman, beliau mungkin masih baharu di dalam bola sepak. Tidak dinafikan merupakan seorang individu yang amat gemarkan sukan bola sepak, beliau bagaimanapun harus berhati-hati di dalam urusan pasukan.
Tindakan beliau itu mungkin hanya kerana ingin melihat pasukannya dibarisi lebih ramai pemain baharu. Namun untuk urusan teknikal di dalam pasukan, adalah lebih baik tugas tersebut diserahkan kepada seorang Pengarah Teknikal.
Kenyatan yang dikeluarkan sewenang-wenangnya pula menghadirkan persepsi kurang sihat kepada pihak luar, terutama kepada bakal pemegang taruh. Malah ia boleh memberi tanggapan tidak baik kepada penyokong, jurulatih, barisan pemain dan penaja. Adalah lebih baik untuk beringat sebelum kena.