Zamiruddin Mahu Perak Kembali Bangkit Hadapi Final

Zamiruddin

Pemain lincah skuad futsal Perak, Muhammad Zamiruddin Jalaludin mahu rakan sepasukannya bangkit daripada kekalahan 1-4 di tangan CAT Futsal FC dari Thailand pada aksi terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet 2020 Piala Raja Iskandar Dzurkarnain.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu pada aksi final yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang esok di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Pemain kelahiran Kluang itu melihat tiada yang mustahil buat pasukan Perak untuk tampil dengan lebih garang sekaligus memburu mahkota kejuaraan tersebut.

”Kekalahan pada perlawanan semalam sebenarnya menjadi pengajaran berguna buat kami. Barisan jurulatih khususnya boleh menganalisis setiap kelemahan kami pada perlawanan tersebut.”

”Selain daripada semangat juang tinggi para pemain Perak, sokongan daripada penyokong juga mampu untuk meningkatkan moral kami untuk menebus kekalahan tersebut.”

”Tiada yang mustahil buat Perak Futsal untuk memenangi kejohanan ini.”

Dalam pada itu, Zamiruddin menyimpan impian besar untuk beraksi pada perlawanan esok kerana beliau kini masih dalam proses pemulihan kecederaan buku lali yang dialami ketika bertemu Shah United dari Brunei.

”Sudah pasti saya juga mengimpikan beraksi. Semangat juang pemain yang amat tinggi membuatkan saya tidak mahu terlepas peluang keemasan ini.”

”Sekiranya saya tidak dapat beraksi, saya mengharapkan rakan sepasukan yang lain untuk bangkit melawan dengan penuh keazaman bagi mencatatkan kemenangan.”

Kredit foto: Perak Futsal

Leave a Reply