Bekas penjaga gol kebangsaan, Zamir Selamat dilaporkan bakal menyertai pasukan daripada Liga M3. Walaupun nama pasukan tersebut tidak didedahkan namun sumber mengatakan beliau kemungkinan akan menyertai kelab Batu Dua FC.
Sebelum ini SemuanyaBOLA menyiarkan luahan Zamir yang pernah beraksi untuk Harimau Muda A, Johor Darul Ta’zim, Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Perak dan Melaka United buntu dalam mencari pasukan baharu di akaun Instagram rasmi milik beliau.
Dalam luahan tersebut, Zamir berkata beliau sanggup beraksi bersama pasukan dari liga bawahan walaupun hanya menerima gaji sekitar 1 hingga 2 ribu sebulan. Ketika ini beliau dilihat melibatkan diri dengan perniagaan produk ‘supplement’.
BINTANG BARU AKAN TIBA
Sama-sama kita tunggu esok untuk penampilan ahli keluarga baru B2FC.#B2FCMytr8des#LigaM32019#Bring2wardsForChampions pic.twitter.com/FAMZqvh49P
— Batu Dua FC (@batuduafc) March 10, 2019
Tawaran daripada pasukan baharu tersebut ibarat seperti ‘mati hidup semula’ selepas hampir empat bulan usaha mencari pasukan tidak membuahkan hasil.
Beliau menafikan akan meminta bayaran tinggi untuk bersama skuad baharunya itu sebaliknya lebih gemar untuk berkhidmat dan memberi komitmen 100 peratus untuk kejayaan pasukan.
“Azam saya mahu menjulang kejayaan skuad baharu ini, sambil tidak memikirkan status liga yang disertai.
“Malah penyertaan ramai pemain berpengalaman selain saya mampu meningkatkan nilai dan status liga itu sendiri kelak.” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Luahan Zamir menerusi laporan media turut mendapat perhatian bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussien yang menganggap pasukan dilihat lebih gemar mengambil pemain muda sebagai antara punca penjaga gol berpengalaman sukar mendapatkan tempat.
SemuanyaBOLA mengucapkan selamat maju jaya kepada Zamir Selamat bersama pasukan baharu. Semoga dimurahkan rezeki dan memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam kerjaya bola sepak.