Rentetan tanpa kemenangan PKNS berlanjutan hingga 13 perlawanan selepas tewas 1-2 kepada FELDA United dalam perlawanan ke-2 kumpulan B TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam malam tadi.
PKNS FC yang turun buat kali pertama tanpa E. Elavarasan yang direhatkan pada Khamis lepas tidak banyak membuat perubahan dari segi formasi. Cuma bezanya pemangku ketua jurulatih, Adam Abdullah mempunyai barisan kesebelasan utama yang berlainan dengan Elavarasan.
Masih lagi bermain dengan sistem 4-4-2, PKNS memasangkan Khyril Muhymeen dengan Patrick Ronaldinho. Di tengah, tiada lagi tempat untuk Nazrin Syamsul Bahri. Khairu Azrin pula dipilih untuk berpasangan dengan S. Sivanesan.
FELDA United pula turun dengan sistem 4-2-3-1. Thiago Augusto mengepalai jentera serangan bersama Zah Rahan Krangar. Shukor Adan pula kembali ke posisi zaman mudanya – defensive midfielder.
Pemain import baru, Ifedayo Omosuyi dan bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha masing-masing diberi tugas menyerap kawasan sayap.
FELDA mengejutkan PKNS
Formasi 4-4-2 yang dipertaruhkan PKNS adalah petanda jelas mereka mahu menyerang dan mendapatkan gol dahulu. Bagaimanapun FELDA terlebih dahulu mendahului.
Berpunca daripada kegagalan S. Sivanesan merampas bola dari Stuart Wark, pemain tengah FELDA itu membuat hantaran cantik untuk menghantar Zah Rahan 1v1 dengan Zamir Selamat. Zah Rahan tiada masalah menyudahkan peluang tersebut untuk FELDA mendahului 1-0 seawal minit ke-4.
Tersentak dengan gol tersebut, PKNS bangkit menggandakan asakan.
Jika Khyril Muhymeen dilihat sebagai pemain impak lewat permainan (super sub) oleh E. Elavarasan, Adam Abdullah melihat bekas pemain Kedah ini sebagai pasangan sempurna untuk Patrick Ronaldinho.
Berdasarkan persembahan separuh masa pertama Khyril, justifikasi Adam nampak betul. Khyril banyak kali mencipta peluang untuk Patrick dan pemain-pemain PKNS lain.
Pada separuh masa pertama sahaja, Khyril telah mencipta 3 peluang gol untuk Patrick. Bagaimana pun, semuanya disia-siakan penyerang Liberia itu.
PKNS temui gol penyamaan
Kebolehan Khyril yang boleh melepasi kawalan ketat K. Prabakaran terbukti menjadi duri dalam daging FELDA. Pada minit 37′ beliau melepasi kawalan Prabakaran sebelum menghantar Patrick 1v1 dengan Farizal Harun.
Bagaimanapun percubaan Patrick dapat dihalang oleh Farizal Harun. Ini merupakan percubaan tepat ke arah gol (shots on target) PKNS yang pertama.
Selepas itu PKNS bagai dirasuk. Bertubi-tubi mereka melepaskan percubaa tepat ke arah gol. Tetapi berkali-kali itu jugalah Farizal Harun cekap menidakkan PKNS.
Pada minit 45′ Patrick nampak hampir pasti untuk menjaringkan gol penyamaan. Bagaimanapun refleks pantas Farizal menafikan penyerang Liberia tersebut. Sepakan sudut dihadiahkan kepada PKNS.
Mehmet Durakovic yang duduk di belakang penulis lantas memuji aksi Farizal, “What a great save! What a f*****g great save!”
Park Kwang-il mengambil sepakan sudut tersebut tetapi ia pantas dikeluarkan oleh pertahanan FELDA. Tetapi clearance tersebut dirampas oleh Kwang-il semula yang membuat hantaran lintang tepat menemui kepala Patrick.
Akhirnya PKNS berjaya mendapatkan gol yang dihajati. PKNS 1-1 FELDA United.
Separuh masa kedua buntu
Masuk separuh masa kedua, B. Sathinathan jelas mahukan gol kedua. Beliau mengeluarkan Stuart Wark yang defensif dan memasukkan Danial Amir yang lebih ofensif untuk bergandingan dengan Shukor Adan di tengah.
Pertukaran ini sangat minima impaknya. Danial mempunyai skil memegang bola yang bagus, tetapi work rate yang kurang sehingga beberapa kali ditegur oleh kapten Syukor Adan. Ini membolehkan PKNS lebih dominan di tengah pada separuh masa kedua.
Melihat PKNS semakin dominan, Adam Abdullah juga tak ketinggalan untuk berubah menjadi lebih ofensif. Fabio Ferreira dan Nazrin Syamsul Bahri dimasukkan untuk mengubah nasib pasukan.
Bagaimanapun pertukaran mereka juga minima impaknya.
Banyak percubaan PKNS tdak menepati sasaran. Sama ada melayang melepasi palang gol mahupun dihalang pertahanan FELDA yang cemerlang. Terutamanya Farizal Harun yang berkali-kali mengecewakan Patrick dan Khyril.
FELDA tukar strategi
Diserang bertubi-tubi oleh PKNS, FELDA mula mengendurkan serangan mereka. Mereka mula aktif menyerap serangan sebelum melancarkan serangan balas melalui kelajuan larian yang ada pada Zah Rahan.
Pada minit 84′, kelekaan pertahanan PKNS menghadiahkan Thiago peluang untuk menjaringkan gol kemenangan. Bagaimanapun percubaannya berjaya dihalang oleh Azmizi Azmi.
3 minit kemudia ketika PKNS sedang leka menyerang, Shukor Adan membuat hantaran cantik yang menemui larian pantas Zah Rahan. Zah Rahan membuat percubaan tetapi ia diselamatkan Zamir.
Bola yang muntah kemudiannya jatuh ke laluan Thiago Augusto yang tiada masalah untuk menjaringkan gol kemenangan FELDA. Pada minit 90′, Khyril mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan 2-2. Tetapi kaki beliau gagal menampan hantaran lintang Fabio Ferreira.
PKNS pastinya tertanya-tanya bagaimana mereka gagal untuk mendapat sekurang-kurangnya 1 mata di sebalik dominasi serangan mereka pada separuh masa kedua.
Tetapi itulah bola sepak. Pasukan yang tidak menjaringkan gol akan sentiasa dihukum – walaupun mendominasi perlawanan.
Pemain terbaik perlawanan: Zah Rahan Krangar (FELDA United)
Sumber gambar: FELDA UNITED FC