Pemain import Kelantan dari Jepun, Yuta Suzuki sedia mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad The Red Warriors dengan meraih kejuaraan dalam saingan Liga Premier musim depan sekaligus menempah tiket ke Liga Super 2020.
Pemain yang berusia 28 tahun itu yakin dengan kemampuan rakan sepasukan dan menyedari ia bukan tugas mudah kerana setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini akan memberikan saingan sengit kepada pasukannya.
“Saya akui ia bukan satu tugas mudah. Namun, sebagai pemain saya anggap ia merupakan satu cabaran yang harus ditempuhi.
“Saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan dan berharap rakan-rakan sepasukan dapat membantu,” katanya dalam kosmo.
Suzuki sebelum ini beraksi di Republik Czech dan Liga Kemboja mengakui cukup teruja terpilih menyertai TRW dan tidak sabar turun beraksi dalam saingan Liga Malaysia.
“TRW merupakan satu nama besar dan mempunyai sejarah yang cukup hebat pada saingan Liga Malaysia.
“Saya sudah tidak sabar untuk membantu Kelantan kembali menjadi pasukan digeruni musim depan,” ujarnya.
Yuta Suzuki menjadi pemain kedua dari Jepun yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia selepas Kuala Lumpur menandatangani Ryutaro Karube minggu lalu.
Sama seperti Ryutaro Karube, Yuta Suzuki turut memulakan karier bola sepaknya dengan pasukan universiti iaitu Senshu University Soccer Team pada tahun 2009 hingga 2013.
Selepas tamat universiti, beliau menyertai pasukan FC Suzuka yang beraksi dalam liga amatur jepun pada tahun 2014 hingga 2015. Suzuki kemudian berkelana ke eropah menyertai sebuah kelab dari Republik Czech iaitu SFC Stara Rise pada tahun 2016 sebelum berhijrah ke asia tenggara dengan menyertai kelab kemboja, Phnom Penh Crown FC pada tahun 2017.
Pemain yang beraksi di posisi tengah ini sering membarisi kesebelasan utama Phnom Penh Crown FC dan pernah dipilih menyertai skuad Cambodia All Star pada tahun 2017.