Kekalahan 2-5 kepada Negeri sembilan dalam aksi Liga Premier Di Stadium Sultan Muhammad IV semalam mengundang rasa tidak puas hati pada pengendali baharu Kelantan, Yusri Che Lah yang berang dengan sikap pemainnya yang kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan itu.
“Saya mendapat ‘hadiah’ cukup bermakna malam ini (tadi). Lima gol terhasil di Kota Bharu dan ini sesuatu yang saya tidak boleh terima walaupun baru dua hari mengambil alih pasukan.
“Sejujurnya, ini bukanlah pemain Kelantan yang saya kenal enam bulan lalu. Kalau beginilah corak permainan mereka, Kelantan tidak akan ke mana-mana, bahkan akan terus dihukum dalam perlawanan akan datang.
“Kalau mereka (pemain) tidak boleh berubah, lebih baik saya keluar (daripada pasukan Kelantan). Terus terang saya cakap, sebab saya tidak nampak sebarang perubahan. Kalau berterusan begini, buat apa menjahanamkan reputasi sendiri,” katanya dalam Stadium Astro.
Yusri memberitahu, dia mahu barisan pemain Kelantan mengubah mentaliti tersebut dan kembali pamerkan prestasi yang terbaik. Tempoh rehat sebelum pertemuan menentang Pulau Pinang Jumaat ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.
“Ketika bersama Kuala Lumpur, saya keluar tanpa ada sebarang masalah. Tetapi, bersama Kelantan, saya rasa ada tanggungjawab dan sekiranya mereka (pemain) tidak mahu berubah, sayanglah kerana pasukan ini tidak sepatutnya berada di dasar liga.
“Saya harap pemain menjadikan kekalahan ini sebagai peringkatan untuk bangkit,” tegasnya.
Pada perlawanan itu, jaringan skuad Hoben Jang Hoben dihasilkan menerusi hatrik anak jati Kelantan, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir (minit ke-12, 43 dan 50) Jose Barros Neto (minit ke-54) dan Mohammad Ridzuan Abdunloh (minit ke-56).
Gol saguhati Kelantan disumbangkan oleh Flavio Beck Junior (minit ke-15) dan Muhammad Hakimi Abdullah (90+1).