Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan Yusri Che Lah sah menamatkan kontrak bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila beliau tidak akan lagi mengendalikan Skuad Projek FAM-MSN musim hadapan.
Walaupun Yusri dilihat masih mempunyai baki satu tahun kontrak untuk menerajui kelab tersebut, beliau mahu menamatkannya lebih awal bersama kelab berkenaan.
Jelas Saifuddin, ia adalah persetujuan bersama antara Yusri dan FAM mengenai penamatan kontrak ini walaupun tempoh perjanjian adalah dua tahun.
Selaku wakil FAM, beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yusri atas segala khidmat yang diberikan sepanjang beliau memimpin pasukan berkenaan sepanjang musim menerusi satu kenyataan media.
Perletakan jawatan Yusri ini dikaitkan dengan perpindahan beliau ke pasukan Liga Premier iaitu Perak yang bakal memulakan hidup mereka di saingan divisyen dua kebangsaan musim depan.
Dengan pasukan tersebut menggunakan ramai pemain muda, tidak hairan jika Yusri dikaitkan untuk ke Ipoh dek kerana reputasi beliau yang begitu senang bekerja dengan skuad yang baru meningkat naik.
Yusri Che Lah has resigned as FAM-MSN coach. It is looking likely that he could be joining Perak for the new season. #MFLTransfer2022
— T. Avineshwaran (@avineshW90) December 10, 2021
Sebelum ini, Skuad Projek FAM-MSN yang dibina khas oleh FAM berada dalam saingan Liga Premier dengan menamatkan musim ini di tangga tercorot liga.
Daripada 20 perlawanan, skuad bekas kendalian Yusri mencatat 16 kekalahan selain menang sekali dan seri tiga kali sepanjang musim berlangsung.
Skuad berkenaan hanya ditunjangi barisan pemain muda berusia 20 tahun ke bawah dan sasaran ke Sukan SEA Kemboja pada tahun 2023 serta kelayakan Sukan Olimpik 2024.
Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Yusri, FAM dan MSN akan mengadakan sesi temu duga calon-calon dalam masa terdekat dan akan mengumumkan siapa ketua jurulatih baharu pasukan berkenaan selepas keputusan dibuat secara rasmi.