Ketua Jurulatih Perak, Yusri Che Lah melaungkan kata-kata semangat untuk memastikan skuad kendaliannya terus mencatat kejayaan pada perlawanan seterusnya tidak lama lagi.
Yusri yang dipanggil semula untuk menggantikan khidmat Datuk Lim Teong Kim selaku pengendali utama Perak berjaya menghadiahkan kemenangan sulung beliau buat penyokong ketika mereka menewaskan Kuching City.
Pada aksi terdahulu, Perak berjaya mengetepikan cabaran Kuching City di gelanggang lawan menerusi kemenangan 2-1 bersama persembahan cukup menyakinkan.
Kemenangan tersebut pastinya dapat mengembalikan keyakinan para penyokong Perak yang sebelum itu sedikit kecewa dengan prestasi semasa kelab dalam persaingan Liga Super.
Jelas Yusri, ianya merupakan suatu tugas berat selepas beliau mengambil alih sebagai pengendali utama dalam usaha untuk memastikan prestasi Perak kembali pulih bagi baki saingan liga kini.
Namun, Yusri tetap bersedia untuk memegang tanggungjawab tersebut dengan berusaha keras bagi mencipta keputusan lebih baik agar Perak tidak berada bersama kelompok bawahan liga bersama kelab lain.
Ketika ini Perak berada di tangga ke-11 daripada 14 pasukan bertanding dan dibezakan enam mata bersama Penang untuk kelab tersebut cuba mengintai peluang di kedudukan ke-10 Liga Super.
Menerusi rombakan baharu di posisi kejurulatihan, Perak juga menambah kekuatan baharu beberapa pemain import dalam usaha memperbaiki kedudukan semasa mereka berbanding sebelum ini.
Malah, import baharu mereka seperti Jesper Nyholm yang beraksi di posisi pertahanan juga berjaya meninggalkan impak positif dan sudah pun dibuktikan pada perlawanan lalu.
Yusri juga menyatakan kini beliau mahu berusaha lebih gigih untuk membina satu skuad lebih mantap bagu meraih tiga mata seterusnya supaya para penyokong Perak lebih yakin kepada pasukan.
“Saya mengambil tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya dengan tujuan adalah memastikan kita dapat mengumpul sebanyak mungkin mata untuk pasukan.
“Perkara paling penting adalah akan pastikan pada perlawanan akan datang terus memihak kepada Perak FC berdasarkan kepada pemain sedia ada dalam pasukan,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Untuk aksi seterusnya, Perak akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur (SDM) untuk berdepan Sri Pahang dalam usaha untuk terus memungut mata bagi memperbaiki kedudukan semasa dalam carta liga.