Yusri Che Lah Dilantik Pengendali Skuad Mirip Harimau Muda, Skuad Projek FAM-MSN

Majlis pengenalan skuad Projek FAM-MSN 2021

Khabar angin pembentukkan skuad persis Harimau Muda sudah direalisasikan dengan pengumuman rasmi mengenai skuad Projek FAM-MSN, sebentar tadi.

Ianya bakal mengumpulkan 30 pemain dikalangan graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Ia merupakan satu kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membentuk pasukan yang bersifat pembangunan.

Menurut FAM, pemain yang terpilih menyertai skuad itu akan memperolehi beberapa manfaat antaranya menjalani sesi latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara dan antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Keputusan ini dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan sumbang saran di antara pihak FAM dan MSN sejak beberapa bulan lalu dalam memastikan kelompok terpilih lepasan NFDP dan AMD tidak terlepas aksi kompetitif pada usia 18 hingga 20 tahun.

Majlis pengumuman skuad itu diadakan di Arena Futsal FAM hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin. Turut dijalankan pengenalan logo pasukan yang menggabungkan ciri-ciri logo AMD dan NFDP dengan panji-panji negara.

Player’s Pathway atau laluan kerjaya pemain penting dalam ekosistem pembangunan bola sepak negara. Pemain berpotensi sudah dikenal pasti lebih awal oleh pasukan-pasukan dalam liga tempatan, tetapi bagi kelompok yang lambat matang, mereka mempunyai peluang kedua memastikan mereka terpilih menyertai skuad projek ini.

“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan,” jelas Dato’ Sri Reezal mengenai idea pembentukkan skuad Projek FAM-MSN tersebut yang dijadualkan akan menyertai saingan Liga Premier 2021 nanti.

Selain itu, skuad ini akan dijadikan teras skuad negara menghadapi beberapa kejohanan antaranya Sukan SEA Vietnam 2021, pusingan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2022, Sukan Asia Hangzhou 2022, Sukan SEA Kemboja 2023 dan juga saingan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2024 serta saingan peringkat AFF.

Turut diumumkan pengendali pertama skuad Projek FAM-MSN ini, iaitu bekas pemain skuad kebangsaan, Yusri Che Lah dan akan dibantu Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal) selain sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Sebagai permulaan, Yusri Che Lah akan meninjau proses pemilihan bermula minggu ini dan beliau dijangka akan menamakan senarai pemain skuad tersebut dengan menyerapkan kelompok pemain generasi kedua lulusan AMD sebagai teras.

Sesi pemilihan pemain telah dirancang bermula 11 Disember, mengikut zon yang telah dikenal pasti seperti berikut:-

AMD Gambang: 11-12 Disember di AMD, Pahang
Zon Pantai Timur: 13-14 Disember di Kuala Terengganu, Terengganu
Zon Selatan: 15-16 Disember di Melaka
Zon Tengah: 18-19 Disember di Bukit Jalil @ Putrajaya
Zon Utara: 21-22 Disember di Alor Setar, Kedah
Pemilihan Akhir: 7-9 Januari 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

KREDIT FEATURED IMAGE: KAMARUL AKHIR/ASIANA

Baca lagi artikel mengenai Harimau Muda:

Guus Hiddink: Harimau Muda Ada Kualiti Untuk Ke Pusingan Akhir

Izzan Syahmi: Dahulu Bermain Di Liga Amatur, Kini Beraksi Untuk Harimau Muda

5 Pemain Harimau Muda Yang Paling Menyerlah Di Sukan SEA 2017

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN