Jurulatih skuad Kuala Lumpur, Yusri Che Lah menganggap prestasi pasukannya boleh berubah jika beliau diberi kuasa penuh untuk memilih pemain import untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
Sambil meluahkan rasa kecewa dengan tiga kekalahan berturut-turut yang dilakar oleh pasukannya dan seharusnya dijadikan pengajaran yang berguna kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
“Satu perasaan yang cukup kecewa. Walaupun saya menerima kekalahan ini, saya inginkan sokongan daripada pengurusan. Biar mereka lihat sendiri apa yang mereka lakukan terutamanya dalam pengambilan pemain import.
“Saya tidak salahkan pemain import cuma jika jurulatih yang memilih pemain import, sudah tentu ia akan berlainan daripada apa yang dipilih pengurusan. Hanya Luke Woodland sahaja pemain import pilihan saya.
“Saya tidak takut menyatakan kebenaran walaupun ia akan mengakibatkan kedudukan saya terjejas. Ini adalah kebenaran namun saya doakan pemain import saya dapat menunjukkan aksi lebih baik selepas ini,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Mengulas mengenai kekalahan kepada Terengganu FC kelmarin, Yusri mengakui kehilangan penyerang import utama, Guilherme de Paula akibat kecederaan menyebabkan jentera serangan mereka tumpul dan gagal menyaingi skuad kendalian Irfan Bakti.
“Masalah besarnya adalah apabila saya tidak dapat menggunakan kelima-lima pemain import namun walaupun hanya dengan empat pemain import, saya nampak strategi yang cuba digunakan boleh berhasil.
“Cuma agak malang apabila kita hanya ada empat pemain import tetapi TFC dapat menggunakan semua pemain import mereka. Jika mereka berada dalam situasi seperti kami, sudah tentu mereka juga sukar untuk bersaing.
“Apapun, saya nampak ada peningkatan yang ditunjukkan namun hasilnya mungkin berbeza bagi setiap orang,” katanya.