Quantcast

BERITA

Datuk Ahmad Amizal Digantung Sebagai Presiden PFA Berkuatkuasa Serta Merta

Isu tunggakan gaji dan pelbagai kemelut yang melanda skuad singa utara ternyata telah menjatuhkan imej Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) di Malaysia. Justeru itu, badan induk bola sepak negeri tersebut sebulat suara memutuskan untuk menggantung jawatan presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, berkuatkuasa serta merta.

Penggantungan tugas presiden itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan berkenaan semalam, berkuat kuasa sehingga tarikh Kongres PFA berikutnya yang belum ditetapkan.

Perkembangan ini disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan menerusi kenyataannya dalam Stadium Astro.

“PFA mengambil tindakan tersebut merujuk kepada peruntukan statut PFA pada Artikel 36, 37 dan 38.

“Selain itu, presiden PFA dilihat turut melanggar perjanjian penajaan antara Kelab Bola Sepak Qhaleefa yang mana presidennya adalah beliau (Ahmad Amizal Shaifit) dan PFA yang dipersetujui bersama,” katanya.

Surat pengesahan rasmi daripada PFA

Selain itu, jawatan naib presiden 2 PFA yang dipegang Muhammad Sukur Hashim turut digantung di samping ‘merehatkan’ setiausaha agung PFA yang disandang Adib Rabani Muaz Abul Malik sehingga tarikh Kongres PFA seterusnya.

Hal ini kerana Muhammad Sukur dan Adib Rabani Muaz adalah individu yang mewakili Kelab Bola Sepak Qhaleefa milik Datuk Ahmad Amizal.

“Susulan keputusan diambil ini, ketiga-tiga individu berkenaan dilarang menjalankan sebarang tugasan berkaitan sepertimana tempoh ditetapkan,” katanya.

Mereka juga sebulat suara memilih timbalan presiden PFA untuk menjalankan tugas presiden buat sementara waktu manakala jawatan setiausaha agung akan dijalankan Penolong Setiausaha Agung PFA, Naimulddin Haron.

Abdul Karim menjelaskan tindakan drastik itu dibuat bagi memulihkan kembali imej PFA yang terpalit pelbagai isu sehingga disingkirkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) daripada saingan Liga Malaysia.

“Diharapkan semua pihak, termasuk pemerintah negeri, anggota gabungan serta penyokong bola sepak Perlis memberi semula sokongan penuh kepada kepimpinan baharu PFA yang memegang tanggungjawab terkini dalam usaha mengembalikan PFA dalam saingan Liga Malaysia.”

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!