Yusoff Mahadi Bidas Penyokong Persoal Pindaan Jadual Liga Malaysia

Melalui satu muat naik di laman Facebook milik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Timbalan Presiden Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi membidas segelintir penyokong yang mempersoalkan pindaan perlawanan keenam dan ketujuh Liga Malaysia yang diumumkan oleh FMLLP semalam.

Perlawanan minggu keenam (LS6) dan minggu ketujuh (LS7) membabitkan perlawanan di saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 dan 100Plus Liga Premier Malaysia sebelum ini dijadualkan berlangsung masing-masing pada 30 dan 31 Mac serta 3 dan 4 April 2018.

Pindaan terbaru untuk perlawanan-perlawanan tersebut menyaksikan LP6 dan LP7 untuk saingan 100Plus Liga Premier akan diadakan pada 23 dan 24 April.

Manakala bagi saingan unifi Liga Super Malaysia akan diadakan pada 10 dan 11 Julai akan datang.

Dalam kenyataan bertajuk “APA SEBENARNYA YANG MEREKA MAHU?” itu, Yusoff Mahadi menjelaskan penangguhan tersebut adalah bagi memberi laluan skuad Harimau Malaya menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa ‘kelas A’ pada 1 April 2018 dalam usaha badan induk bola sepak negara itu untuk memperbaiki ranking FIFA.

Untuk rekod, kedudukan ranking FIFA yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan skuad kebangsaan berada di tangga ke-178 dunia; terendah di dalam sejarah bola sepak negara.

Ini berikutan ketiadaan perlawanan-perlawanan membabitkan skuad negara sejak kekalahan kepada Korea Utara di pusingan kelayakkan Piala Asia 2019 yang diadakan pada November lalu.

Kedudukan skuad negara turut tidak dibantu dengan deretan kekalahan tanpa sebarang kemenangan sepanjang kalendar antarabangsa yang dilalui sepanjang tahun 2017.

“Ingin dinyatakan bahawa penangguhan tersebut adalah disebabkan skuad Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” pada 1 April 2018 dalam usaha kita untuk memperbaiki ranking FIFA.”

“Apabila kita tiada perlawanan antarabangsa dan ranking kita jatuh, peminat mengkritik teruk. Sekarang apabila kita cari perlawanan tambahan untuk baiki semula ranking pun peminat kritik juga.”

“Jadi, apa sebenarnya yang mereka mahu?” ujar Timbalan Presiden FAM itu dalam kenyataan tersebut yang mempersoalkan segelintir penyokong yang mengkritik tanpa asas.

Skuad negara akan memulakan cabaran di pentas antarabangsa dengan perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada malam ini yang akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kesebelasan utama skuad malaysia B-23 ketika bertemu Iraq. FOTO: FAM

Pasukan negara kemudian akan terbang ke Beirut untuk pertemuan dengan Lubnan dalam saingan terakhir Kelayakan Piala Asia UAE 2019 pada 27hb akan datang.

Sebelum ini kedudukan ranking FIFA mendapat kritikan ramai terutama selepas prestasi skuad negara sepanjang pusingan kelayakkan Piala Asia 2019.

Kecemerlangan skuad B-23 negara di Kejohanan Piala AFC di China dan kemunculan beberapa muka baharu yang menyertai panggilan untuk latihan skuad negara diyakini mampu membantu memperkemaskan skuad utama negara di saingan antarabangsa selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN