Quantcast

BERITA

S-League Dijenamakan Semula, Kini Dikenali Sebagai Liga Premier Singapura (SPL)

Selepas 22 tahun penubuhannya, Liga Singapura (S-League) akhirnya mengucapkan selamat tinggal dan akan diberikan wajah baharu, Liga Premier Singapura (SPL).

Ia adalah sebahagian dari usaha oleh Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) untuk membaik pulih struktur liga yang dilihat semakin gagal dari segi kualiti dan kehadiran penyokong.

Sepanjang penubuhannya, Warrior FC adalah kelab paling berjaya dengan 9 kali dinobatkan sebagai juara diikuti oleh Tampines Rovers, Geylang International dan Home United.

Untuk musim 2017, Albirex Niigata telah mengekalkan kejuaraan liga dengan 62 mata, diikuti oleh Tampines Roves di kedudukan kedua dan Home United ketiga.

Penjenamaan semula telah diumum di Stadium Nasional pada Rabu (21 Mac) oleh Presiden FAS, Lim Kia Tong. Disamping itu, majlis turut memperkenalkan logo baharu pertandingan.

“Visi baharu dan sikap kami akan memberikan wajah baharu bola sepak di Singapura. Ahli Majlis dan saya tahu yang menghidupkan semula liga adalah satu keperluan untuk maju ke depan.

“Kami mahukan liga yang dimiliki oleh semua masyarakat Singapura, yang mana mereka berasa bangga untuk menyokong dan juga memilikinya,” jelas Kia Tong kepada Straits Times.

Menurut Kia Tong, SPL akan memberi fokus kepada empat perkara penting. Pertama, sebagai platform premium untuk pemain muda yang berpotensi mengasah bakat.

Syarat baharu yang diperkenalkan adalah, setiap kelab perlu mendaftarkan enam pemain B-23 dengan tiga darinya perlu berada dalam kesebelasan utama kelab.

Kedua, liga ingin meningkatkan profesionalism dan FAS akan membantu para pemain, jurulatih, pegawai dan kelab untuk meningkatkan kecekapan mereka.

Seterusnya, liga harus kekal lestari untuk memastikan jenamanya sentiasa bersifat komersial dan mampu untuk menarik penaja.

Dan akhir sekali, FAS akan menggesa kelab-kelab bertanding untuk mengukuhkan perhubungan dan interaksi dengan para penyokong mereka agar dapat membina budaya bola sepak.

Menurut Naib Presiden FAS, Edwin Tong, yang bercakap kepada Channel News Asia, dia sangat berharap inisiatif ini akan mengembalikan penyokong ke stadium.

“Petunjuk prestasi utama bagi kami adalah untuk memastikan penglibatan penyokong dapat dikekalkan. Sekiranya tiada peningkatan, diharapkan ianya kekal pada tahapnya.

“Dan nanti, jika saya dapat menyebut sekurang-kurangnya tiga atau empat permata baharu dan ianya membuat para penyokong mula bercakap, barulah saya anggap musim tersebut berjaya.

“Serta untuk sepanjang musim baharu ini, diharapkan pihak kami akan dapat meningkatkan jumlah kehadiran terutamanya di Sports Hub,” tambah Tong lagi.

Ahli Majlis bersama pemain-pemain SPL 2018. Foto: Noor Farhan.

Seperkara yang menarik lagi mengenai musim baharu SPL adalah pengiktirafan yang diberikan kepada Liga Nasional Singapura (NFL) untuk membentuk divisyen kedua dan ketiga.

2018 merupakan tahun ke-44 penubuhan liga tersebut dan musim ini adalah kali pertama liga tersebut akan terlibat dalam sistem atau hierarki bola sepak Singapura.

Ini menjadikan liga bola sepak di Singapura berkembang kepada 30 pasukan berbanding 9 pasukan sahaja pada musim lalu. Satu perkembangan yang sangat menarik.