Kejayaan skuad Malaysia B-23 negara mencipta sejarah pada penampilan sulung dalam Kejohanan AFC B-23 mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila berjaya melayakkan diri ke saingan suku akhir bertemu Korea Selatan sabtu ini.
Pemain Felda United, Danial Amier Norhisham muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke 28 menewaskan Arab Saudi sekaligus memahat sejarah baharu dalam arena bola sepak Malaysia.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, faktor Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menjadi antara pencetus kebangkitan pemain di Kejohanan AFC B-23 di Kunshan, China.
Beliau bercakap kepada Berita Harian, sokongan daripada semua pihak terutama perancangan Tunku Ismail apabila menerajui FAM adalah faktor utama kejayaan itu dapat diraihkan.
“Ada beberapa faktor kejayaan ini antaranya adalah inspirasi yang diberikan oleh TMJ kepada pemain, kebijaksanaan jurulatih mengatur strategi menentang pasukan hebat seperti Jordan dan Arab Saudi serta kesungguhan pemain.
“Bila saya bercakap dengan pemain sebelum masuk ke padang, saya ingatkan bahawa mereka perlu bantu TMJ jika nak TMJ bantu bola sepak negara. Kalau mereka tak bermain dengan baik, ramai pihak akan sibuk mengkritik TMJ dan tidak menumpukan kepada usaha perubahan yang ingin dilaksanakan,” katanya kepada wartawan Berita Harian.
Beliau juga menyifatkan para pemain skuad Malaysia B-23 juga kini semakin bersemangat dan tidak sabar turun ke padang lakar satu lagi sejarah.
“Pemain sudah melepasi halangan psikologi, sudah ada mentaliti menang, kita lihat mereka bermain bermati-matian sehingga wisel penamat tanpa rasa rendah diri.
“Kita boleh menaruh harapan untuk pasukan ini pergi lebih jauh. Kita harap kecemerlangan ini dapat diteruskan apabila bertemu mana-mana pasukan di suku akhir,” katanya.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada mulanya seakan tiada peluang apabila tewas 1-4 pada aksi pembukaan Kumpulan C menentang Iraq.
Kemudian, mereka menunjukkan kebangkitan dengan mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Jordan dan mengejutkan Arab Saudi 1-0.