Younes Kaboul meluahkan perasaan tidak puast hati beliau terhadap bekas pengurus beliau ketika bersama Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.
Kaboul menyifatkan pengurus kelahiran Argentina tersebut sebagai seorang ‘talam dua muka’.
Kaboul menyertai Tottenham pada 2007, sebelum kembali menyertai kelab London itu pada 2009 selepas dua musim bersama Portsmouth.
Enam tahun berkelana di White Hart Lane, Kaboul kekal di London sehingga musim 2014/15, pada ketika Pochettino dilantik sebagai pengurus Spurs.
Pemain kelahiran Perancis itu digugurkan dari skuad utama pada awal musim sebelum dijual kepada Sunderland. Dan Kaboul membayangkan ia adalah disebabkan hubungan beliau bersama Pochettino.
“Satu-satunya perkara yang tidak betul ketika di sana (Tottenham Hotspur) ialah hubungan saya dengan Pochettino,” ujar Kaboul seperti yang disiarkan oleh France Football.
“Di atas padang, semuanya dilihat cemerlang. Beliau adalah pengurus yang bagus dengan falsafah dan gaya permainan bola sepak yang mampu mendatangkan hasil.”
“Namun secara peribadi, saya berpendapat sebaliknya. Pochettino adalah individu talam dua muka. Dia akan berkata sesuatu kepada anda, dan akan berkata sebaliknya di belakang anda.”
“Saya tidak menggemari hal sedemikian, dan saya berterus terang kepada beliau.”
Tidak dapat dipastikan apakah masalah sebenar di antara pemain ini dan pengurus beliau di White Hart Lane. Statistik perlawanan turut menjelaskan sesuatu.
Kaboul memulakan semua 11 perlawanan di musim pertama Pochettino, dan turut dilantik sebagai kapten pasukan dalam 10 dari penampilan tersebut.
Kaboul juga beraksi 90 minit dalam semua perlawanan, sebelum nama pemain pertahanan tersebut digugurkan terus dari pasukan selepas tewas kepada Stoke pada November 2014.
Jelas sekali ada pertemuan dan apa yang dinyatakan oleh Kaboul sangat tidak disenangi oleh Pochettino.
Kaboul kini adalah anggota skuad Watford, tetapi hanya melakukan dua penampilan sahaja pada musim lalu.