5 Rekod Pertemuan Malaysia VS Korea Selatan Di Sukan Asia

Kali pertama kedua-dua pasukan bertemu di pentas Sukan Asia ialah hampir 56 tahun yang lalu.

Kisahnya mungkin berbeza dengan hari ini. Kerana sejak dari pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak 1962 itu, Taeguk Warriors telah menjejakkan kaki ke Piala Dunia di dalam 9 edisi. Manakala Malaysia tidak pernah berbuat demikian.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di pentas yang sama ialah pada 2014. Kita imbau kembali lima pertemuan Malaysia vs Korea Selatan sepanjang sejarah penganjuran Sukan Asia.

Malaya 1 Korea Selatan 2 (1 September 1962)

Skuad kebangsaan 1962 dikenang dengan pencapaian meraih pingat gangsa di Sukan Asia.

Sukan Asia 1962 menyaksikan Jakarta menjadi tuan rumah untuk kejohanan edisi ke-4 itu, dengan 13 acara sukan dipertandingkan.

Kredit: Kelab Jersi Kita

Berada di dalam Kumpulan B, pasukan negara yang turut dibarisi oleh pemain seperti Abdul Ghani Minhat, dan adik beradik Choe (Richard dan Robert), muncul naib juara kumpulan selepas membelasah Filipina 15-1, menang ke atas tuan rumah 3-2, sebelum tewas di tangan Vietnam.

Menanti di separuh akhir ialah Korea Selatan, jaguh Asia pada ketika itu. Malaysia tewas 2-1 dalam perlawanan tersebut selepas masa tambahan, dan membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Vietnam 4-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-3.

Malaysia 3 Korea Selatan 2 (4 Ogos 1974)

Tehran merupakan tuan rumah Sukan Asia 1974. Terdorong dengan pencapaian layak ke Olimpik dua tahun sebelum itu, Malaysia hadir sebagai salah sebuah pasukan pilihan dalam Sukan Asia edisi ke-7 ini.

Nama-nama seperti Soh Chin Aun, Namat Abdullah dan M. Chandran, dan Mokhtar Dahari adalah tunjang skuad negara di kejohanan tersebut.

Sukan Asia 1974 menyaksikan peringkat separuh akhir diadakan di dalam peringkat kumpulan. Malaysia ditempatkan di dalam kumpulan maut bersama-sama tuan rumah Iran, Iraq dan Korea Selatan.

Kredit: Pemilik Gambar

Tewas 0-1 kepada Iran sebelum seri tanpa jaringan bertemu Iraq, Malaysia bangkit menewaskan Korea Selatan 3-2 melalui dua gol Harun Jusoh dan Ali Bakar untuk melayakkan diri ke perlawanan penentuan pingat gangsa.

Malaysia membawa pulang pingat gangsa apabila menundukkan Korea Utara 2-1 melalui dua gol Isa Bakar.

Malaysia 0 Korea Selatan 1 (18 Disember 1978)

Bola sepak di Sukan Asia 1978 telah diadakan di Bangkok, Thailand dari 9 Disember hingga 20 Disember 1978.

14 pasukan mengesahkan penyertaan dan semua pasukan dibahagikan kepada empat kumpuan untuk pusingan awal.

Malaysia muncul juara Kumpulan C untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir yang turut diadakan di dalam format kumpulan.

Untuk layak ke perlawanan akhir, sesebuah pasukan wajib muncul juara kumpulan. Dua naib juara kumpulan akan berentap di dalam perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4.

Photo credited to NSTP/NIB.

Tewas kepada Thailand 2-1, Malaysia kemudiannya dibelasah 7-1 selepas itu oleh China, sekaligus memadam peluang negara untuk meraih sebarang pingat.

Perlawanan terakhir menentang Korea Selatan sekadar pelengkap jadual, dan pasukan negara tewas 1-0.

Korea Selatan muncul juara kumpulan untuk layak ke perlawanan akhir bertemu pasukan tetangga, Korea Utara.

Kedua-dua pasukan diangkat sebagai juara bersama selepas perlawanan yang diheret ke masa tambahan turut berkesudahan tanpa jaringan.

Malaysia 0 Korea Selatan 4 (3 Oktober 2002)

Acara bola sepak menampilkan pemain di bawah umur 23 buat pertama kalinya di Sukan Asia 2002. Korea Selatan adalah tuan rumah kejohanan pada tahun tersebut.

Tiga pertemuan melibatkan pasukan negara dan Korea Selatan di Sukan Asia sebelum ini adalah di separuh akhir.

Namun pada 2002, kedua-dua negara diundi di peringkat kumpulan bersama-sama Maldives dan juga Oman.

Tewas kepada Oman dalam perlawanan pertama, harapan pasukan negara untuk mara ke pusingan seterusnya kembali menyinar apabila Malaysia menewaskan Maldives 3-1 melalui hatrik Khalid Jamlus.

Tetapi Korea Selatan yang rakus, menang 4-0 ke atas Maldives, sebelum meratah Oman 5-2 di perlawanan kedua terus bernafsu menewaskan Malaysia 4-0 di perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Malaysia kandas di peringkat kumpulan apabila sekadar menduduki tangga ke-3 Kumpulan A, dan Korea Selatan mara untuk memenangi pingat gansa acara bola sepak.

Malaysia 0 Korea Selatan 4 (14 September 2014)

Sekali lagi Korea Selatan menjadi tuan rumah kepada acara sukan rantau Asia ini, dan kali ini Icheon dipilih untuk menganjurkannya.

Seperti pada 2002, Malaysia sekali lagi diundi bersama-sama dengan Korea Selatan di dalam Kumpulan A.

Bersama-sama Malaysia dan Korea Selatan ialah Arab Saudi dan satu lagi wakil Asia Tenggara, Laos.

Seperti mana cabaran pada 2018, skuad B-23 negara di Icheon turut dikemudi oleh Datuk Ong Kim Swee pada ketika itu, dengan Fandi Othman, Ferris Daniel, Aidil Zafuan dan Nor Farhan Muhamad adalah antara tongak sandaran beliau.

Beraksi menentang Korea Selatan dalam perlawanan pertama, pasukan negara tewas 3-0 dalam perlawanan tersebut.

Malaysia kemudiannya gagal mara melepasi peringkat kumpulan apabila tewas 3-0 kepada Arab Saudi, walaupun menang 4-0 ke atas Laos sebelum itu.

Manakala Korea Selatan mara sehingga ke separuh akhir, sebelum disekat oleh Korea Utara, dan terpaksa berpuash hati dengan kilauan pingat gangsa selepas menewaskan Vietnam 3-0 di perlawanan penentuan.

Penutup

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 20 Januari yang lalu, di peringkat suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 yang diadakan di China.

Malaysia memberi tentangan sebelum tewas 2-1 dalam perlawanan tersebut. Tetapi ini adalah skuad Korea Selatan yang berbeza.

Dari senarai 20 pemain yang dibawa ke Indonesia, hanya empat daripada mereka yang berada di dalam skuad Korea Selatan yang beraksi di China.

Diperkuatkan oleh dua pemain Piala Dunia termasuk Son Heung-Min, mampukah pasukan negara melakar kejutan?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN