Pertahanan Colombia yang menyerlah dalam saingan Piala Dunia 2018, Yerry Mina telah memberi bayangan jelas mengenai masa depannya.
Pemain berusia 23 tahun yang telah menarik minat Everton untuk mendapatkan khidmatnya itu menegaskan mahu terus kekal di Nou Camp.
Mina turut mahu berusaha bagi memenangi hati pengurus, Ernesto Valverde sekaligus merebut tempat di kesebelasan utama kelab Catalan itu.
Pada musim lalu, Mina sekadar membuat lima penampilan dan hanya mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan.
”Saya mendapat tawaran tetapi saya mahu berjaya di Barca.”
”Ketika ini, saya sedang menikmati cuti dan apabila masanya tiba, saya akan membuat keputusan bersama keluarga saya mengenai pilihan yang terbaik buat semua.”
Nama Mina meningkat naik selepas prestasi baik dipamerkannya serta membantu Colombia layak ke pusingan 16 terbaik di Rusia.
Di samping mampu beraksi baik selaku pemain pertahanan, Yerry Mina turut berbahaya ketika situasi bola mati yang jelas menjadi ancaman besar buat pasukan lawan.
Perkara tersebut dibuktikan apabila Mina berupaya menjaringkan tiga gol menerusi tandukan pada kejohanan berprestij dunia itu.