Pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt mengakui yang beliau mahukan tiga mata penuh, namun sudah cukup berpuas hati dengan kepututusan seri 1-1 berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, malam tadi.
Babak pertama yang tampak dominasi Perak sehinggalah ke jaringan pembukaan perlawanan oleh Guilherme de Paula pada minit ke-58. Jaringan itu menyedarkan Kedah daripada lamunan panjang seterusnya mula meningkatkan intensiti mereka.
Dari situlah, Perak terperangkap dengan perubahan Kedah dan gagal mengekalkan kelebihan jaringan yang dilakar oleh pemain naturalisasi skuad negara, De Paula.
Ujar Yee Fatt di sidang media, “Melihatkan aksi babak kedua dengan peluang-peluang yang lawan cipta dan ketangkasan Hafizul Hakim, saya rasa berpuas hati dengan hanya satu mata walaupun kami sebolehnya mampu mendapatkan mata penuh.”
“Sebenarnya bukan hari ini sahaja. Perlawanan sebelum ini pun lebih kurang, kita sia-siakan peluang yang kita buat. Ini memberi tekanan kepada seluruh pasukan terutamanya di pertahanan,” jelasnya mengenai deretan peluang yang terbuang.
Perak dilihat menggunakan J. Partiban di sebelah sayap kanan untuk memecah masuk ke kawasan defensif third pelawat. Beberapa gerakan berjaya dicipta oleh Partiban dengan salah satunya telah disudahkan dengan tandukkan oleh Guilherme de Paula.
Kawalan di zon middle third yang baik oleh anak didik Yee Fatt sehingga menyukarkan pemain-pemain tengah Kedah untuk membuat hantaran akhir ke jentera depan tampak memberi tekanan kepada lawan terlebih dahulu dalam aksi babak pertama.
Kebangkitan Kedah selepas jaringan Kpah Sherman hampir menyebabkan The Bos Gaurus tercicir terus mata, namun seperti kata pengendali mereka itu, ketangkasan Hafizul Hakim telah menyelamatkan mereka daripada keciciran mata.
Jika tidak kerana kecemerlangan Hafizul Hakim, skuad Hijau Kuning tentunya sudah berjaya meledak lagi gol antaranya menerusi rembatan deras Kipre Tchetche.
Berada di kedudukan ke-9 Liga Super 2021 dengan hanya sembilan mata selepas sembilan aksi mungkin sedikit merisaukan para penyokong tentang kemampuan pasukan mereka pada musim ini. Yee Fatt percaya masalah itu adalah mental pemain.
“Melihat secara keseluruhan aksi mereka malam ini, saya gembira. Cuma saya rasa keyakinan diri mereka masih kurang. Kepercayaan mereka mampu menang itu sangat rendah. Itu yang menjadi tumpuan utama saya ketika ini,” jelas Yee Fatt.
KREDIT FEATURED IMAGE: CAKAP SUKAN
Baca lagi artikel lain mengenai Perak FC:
Chong Yee Fatt Rasa Tekanan, Akui Perak FC Tiada Sentuhan Kreatif
‘Tolong Kami, Bantu Kami’ – Perak FC Cari Penaja Untuk Selesai Isu Tunggakan Gaji
Meski Kecewa, Yee Fatt Tetap Lega Dengan Aksi Positif Perak Berdepan JDT