Liga Super: Perak, Kedah Terpaksa Berpuas Hati Dengan Satu Mata Di Ipoh

Kpah Sherman Kedah Perak 2021

Perak FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa berpuas hati dengan hanya keputusan seri 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, sebentar tadi.

Perak terlebih dahulu mendahului perlawanan hasil jaringan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula sebelum Kedah bangkit daripada lamunan mereka untuk menyamakan kedudukanmenerusi Kpah Sherman dalam 10 minit terakhir perlawanan.

Kedah membuat sedikit perubahan dengan kemasukkan bek tengah, Loqman Hakim untuk menggantikan Rodney Calvin yang dilayangkan kad merah minggu lalu selain Fairuz Zakaria dan Azamuddin Akil untuk bek kanan dan sayap kanan.

Dua perubahan dibuat oleh Perak dengan kemasukkan Kenny Pallraj dan juga Nazirul Naim menggantikan Rafiuddin Roddin dan Sergio Aguero. Tiada perubahan ketara dengan penggantian terus kepada pemain yang telah direhatkan kali ini.

Perak dilihat menggunakan J. Partiban di sebelah sayap kanan untuk memecah masuk ke kawasan defensif third pelawat. Beberapa gerakan berjaya dicipta oleh Partiban dengan salah satunya telah disudahkan dengan tandukkan oleh Guilherme de Paula.

Pelawat dilihat tidak terlalu gopoh dalam merencana gerakan dengan mereka duduk lebih ke bawah, mungkin menanti peluang untuk membuat serangan balas pantas. Kedah juga bergerak dalam tempo yang sederhana dengan kurang membuat asakan.

Sedikit perubahan yang menarik adalah Fairuz Zakaria yang sebelum ini banyak digunakan di posisi bek kiri telah kembali ke posisi asalnya, bek kanan menggantikan Rizal Ghazali yang belum pulih, sementara bek kiri dimainkan oleh Ariff Farhan.

Kedah hanya hadir sekali ke kubu tuan rumah pada minit ke-25 menerusi tandukan Kipre Tchetche yang telah diselamatkan oleh penjaga gol, Hafizul Hakim.

Dengan tempo yang sederhana dan pemain Perak yang memenuhkan kawasan middle third, skuad Hijau Kuning bergelut untuk memulakan gerakan ke jentera serangan mereka. Perak juga dilihat pantas untuk menutup ruang jika bola di kaki lawan.

Akhirnya, Perak menghukum gaya permainan Kedah yang tidak agresif memburu jaringan dengan gol pembukaan menerusi tandukan De Paula menewaskan Shahril Sa’ari selepas menerima hantaran lambung oleh Careca ke depan gawang pelawat.

Bermula daripada sepakan penjuru di sebelah kanan gawang, benteng Kedah gagal untuk mengeluarkan awal bola tersebut sehingga berjaya menghasilkan gol buat tuan rumah di minit ke-58. Itu merupakan gol ke-4 oleh De Paula pada musim ini.

Tersentak daripada lamunan panjang, Kedah tiba-tiba bangkit untuk lebih agresif dengan gerakan yang lebih pantas. Hasilnya mereka hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan rendah Kpah Sherman, tetapi ditepis penjaga gol.

Minit ke-69, Kipre Tchetche telah melepaskan rembatan deras yang tersasar daripada gawang yang dikawal oleh Hafizul Hakim sebelum seminit kemudian, Hafizul Hakim sekali lagi membuat aksi menyelamatkan yang baik hasil rembatan Kipre Tchetche.

Perak yang dilihat agak pasif menerima asakan bertali arus pelawat akhirnya dihukum dengan jaringan penyamaan oleh Kpah Sherman pada minit ke-79 selepas hantaran lintang Kipre Tchetche gagal dikeluarkan oleh benteng disambut kemas penyerang itu.

Kemasukkan Fayadh Zulkifli di babak kedua berjaya menambah sengat di jentera serangan pelawat dengan kebanyakkan asakan mereka dicipta oleh pemain muda itu.

Kedah hadir dengan dua percubaan berbahaya menerusi Baddrol Bakhtiar dan Kipre Tchetche yang telah menewaskan Hafizul Hakim, namun gagal mengegar jaring.

Hasil perlawanan malam ini menyaksikan Kedah gagal memintas Terengganu FC yang berada di kedudukan ke-2 Liga Super 2021 dengan 17 mata, satu mata di belakang, sementara Perak kekal di kedudukan ke-9 liga dengan hanya sembilan mata.

KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC

Leave a Reply