Indonesia akan tampil menentang Malaysia di perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Berada di tangga terbawah tanpa sebarang mata selepas empat perlawanan, Indonesia kini yakin mampu memperolehi mata pertama mereka esok, dengan dukungan doa seluruh rakyat negara tersebut.
Bercakap kepada pemberita di sidang media pra perlawanan pada hari ini, Yanto Bosna sedar Indonesia memerlukan lebih dari kekuatan pasukan untuk memastikan mereka tidak berputih mata sekali lagi.
“Semua strategi dan taktikal melawan Malaysia sudah diberikan jurulatih kepada kami. Tentu kami semua akan bekerja keras.
“Kami juga meminta dukungan doa dari masyarakat Indonesia baik yang hadir di stadium mahupun yang [berada] di Indonesia,” kata Yanto.
Skuad Garuda sudah berada di Kuala Lumpur sejak Isnin minggu lepas, dan Yanto berkata faktor cuaca yang sering hujan sebagai antara perkara yang perlu diambil perhatian.
“Kami sudah datang sejak seminggu lalu dan melakukan persiapan sejak awal disini. Untuk itu, kami optimis dan bertekad berjuang keras melawan Malaysia,” ujar Yanto.
“Di sini sering hujan, kami juga sudah bersedia jika perlawanan berlangsung di dalam keadaan hujan nanti. Yang jelas kami semua sudah siap melawan Malaysia,” tambah pemain pertahanan itu.
Sejak tiba awal di Kuala Lumpur, pemain-pemain Indonesia sempat menyaksikan perlawanan diantara Malaysia dan Thailand tempoh hari.
Ini menyebabkan pemain mereka lebih yakin mampu untuk menewaskan pasukan negara esok.
Untuk rekod, kali terakhir Indonesia menewaskan pasukan negara di Kuala Lumpur ialah di separuh akhir kedua Piala Tiger pada 2005.
Malaysia tewas perlawanan tersebut 4-1, hasil jaringan Kurniawan Dwi Yulianto, Charis Tuliant0, Ilham Jaya Kesuma dan Boaz Salossa.