Kedudukan Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kini berada pada situasi yang paling genting. Bergelut di zon penyingkiran, pengurusnya Jesse Marsch mempunyai pendekatan tersendiri untuk memberi motivasi kepada pemain-pemain.
Jurulatih warga Amerika Syarikat tersebut mengambil alih pasukan susulan pemecatan Marcelo Bielsa pada Mac lalu. Namun keadaan tidaklah bertambah baik selepas kelab Yorkhire berkenaan kini terperosok di tangga ke-18 liga.
Selepas 35 perlawanan, Leeds hanya mengumpul 34 mata, hanya dipisahkan dengan Burnley di tangga ke-17 secara perbezaan jaringan.
Bercakap dalam sidang media menjelang pertemuan berdepan Chelsea, Marsch mengungkapkan kata-kata motivasi dengan memetik kata-kata pejuang kemerdekaan India, Mahatma Ghandi dan legenda sukan tinju dunia, Mohamed Ali.
NEW!
Jesse Marsch on taking inspiration from Michael Jordan and Muhammad Ali to push Leeds to Premier League survival | Football Newshttps://t.co/gE2TzFu2ts
[Source: Sky Sports]#lufc #MOT #alaw pic.twitter.com/oKOaxXcPdr
— LeedsNews_365 (@LeedsNews_365) May 10, 2022
“Saya ada ratusan petikan kata-kata hikmah yang digunakan pada keadaan yang berbeza,” ujar Marsch yang turut terinspirasi dengan beberapa figura lan seperti ikon NBA, Michael Jordan, jurulatih Chicago Bulls, Phill Jackson dan legenda American football, Vince Lombardi.
“Saya akan cuba untuk menyesuaikan petikan tokoh-tokoh ini dengan situasi kami bermain bola sepak. Saya gemarkan kata-kata hikmah, belajar daripada pengalaman mereka pada masa lalu.
“Figura sukan, sejarawan dan siapa sahaja. Kuncinya adalah memahami apa mesej yang disampaikan dan digunakan pada masa yang tepat.”
Marcsh juga mengatakan kejayaan skuad Perancis yang menjuarai Piala Dunia 1998 dan skuad bola keranjang Amerika di Sukan Olimpik 2008 juga memberi inspirasi kepadanya.
“Saya sukakan bola keranjang di Amerika, cara mereka membentuk kanak-kanak dalam komuniti sehinggalah pasukan di universiti, cara pembangunan bakat mereka sungguh menakjubkan.
“Saya rasa semua itu kena dengan jiwa saya, begitu juga dengan beberapa figura besar dalam lipatan sejarah seperti Gandhi, Mother Teresa dan presiden John F Kennedy.”
Leeds yang baru sahaja kembali ke pentas EPL pada musim lalu selepas 16 tahun akan menentang Brighton selepas aksi bertemu Chelsea dan akan mengakhiri kempen musim ini berdepan Brentford.
“Kita tahu kesemua tiga perlawanan ini amat sukar untuk mengutip mata. Jadi fokus kami adalah mengawal permainan sebaik mungkin. Kredit buat Burnley dan Everton yang turut berjuang sebaik mungkin demi menyelamatkan nasib mereka. Kami juga akan buat perkara yang sama.”