Liga Super sudah pun memasuki bulan Mac. Sepanjang Februari lalu ada 4 perlawanan MSL berlangsung. Dan ini adalah XI terbaik bulanan pilihan kami.
Penjaga gol – Haziq Nadzli (JDT)
Selepas Izham Tarmizi melakukan kesilapan penjaga gol (GK error) dalam perlawanan pertama , Haziq terus dipanggil untuk membuktikan kemampuan beliau.
Dalam perlawanan menentang K.Lumpur, ketika JDT bermain ultra-ofensif, beliau banyak melakukan aksi menyelamat.
JDT setakat ini tiada penjaga gol utama dengan ketiga-tiga penjaga gol mereka diturunkan. Namun Haziq Nadzli adalah pemain yang memiliki lebih banyak minit.
Bek kanan – Syahmi Safari (Selangor)
Pemain ini berjaya menjaringkan 2 gol untuk Februari. Walaupun lebih beraksi di posisi ofensif, beliau tetap ada kemampuan untuk beraksi di bek kanan.
Bek tengah – Fadhli Shas (JDT)
Tak syak lagi, beliau adalah pemain bek tengah utama JDT. Untuk mana-mana pesaing posisi bek tengah kiri, haruslah mengatasi prestasi beliau jika mahukan tempat itu. JDT hanya bolos 2 gol dalam bulan Februari, Fahdli Shas adalah jantung kepada pertahanan mereka.
Bek tengah – Muslim Ahmad (Pahang)
Pemain bek tengah ini memulakan musim ini dengan sangat baik. Walaupun Pahang bermasalah dalam permulaan liga musim ini, namun di bahagian pertahanan bukan salah satu daripada masalah mereka.
Pahang hanya bocor 2 kali pada Februari. Jika beliau terus cemerlang, Tan Cheng Hoe sudah boleh menghubungi pemain ini.
Bek kiri – Corbin Ong (JDT)
Aksi bertenaga beliau pada Februari sangat memukau. Pemain yang bertenaga dan menjadi sumber hantaran lintang kepada sistem ‘target man’ JDT.
Tengah defensif – Lee Tuck (Terengganu)
2 ‘wonder goals’ dalam perlawanan menentang Selangor adalah aksi signifikan beliau dalam bulan Februari. Lee Tuck membantu Terenngganu menjadi satu-satuya pasukan tidak tewas lagi dalam saingan MSL setakat ini.
Tengah – Natxo Insa (JDT)
Pemain yang sentiasa kekal bertenaga dan beraksi baik walaupun apa jua keadaan. Menjadi nadi utama JDT menewaskan Kedah dalam perlawanan pertama.
Beliau juga membantu Hariss Harun dalam menyesuaikan diri sekali lagi dalam pasukan. Beliau menjaringkan 2 gol sepanjang Februari.
Sayap kanan – Mahali Jasuli (PKNS)
Jika sebelum ini beliau menyatakan di mahu ke PKNS FC untuk menghidupkan semula karier beliau, rasanya setakat ini beliau berada di landasan yang betul.
Masuk 4 minit terakhir dan menyumbang 1 ‘assist’ kepada Safee Sali dalam perlawanan menentang Pahang. Ia adalah ‘assist’ jaringan kemenangan. Sepanjang Februari beliau melakukan 2 ‘assist kemenangan’ dan juga 2 gol.
Sayap kiri – Do Dong Hyun (Kelantan)
Pemain yang boleh beraksi di semua posisi sokongan kepada no.9 ini memulakan musim debut dalam Liga Super dengan sangat baik. Beliau menjaringkan 4 daripada 5 gol liga untuk Kelantan dalam bulan Februari.
Penyerang kedua – Kipre Tchetche (Terengganu)
Kami akan letakkan beliau di posisi no.10 kerana beliau memang sukakan peranan terapung (floating). Beliau meledak 4 kali sepanjang bulan Februari. Menjadi sumber kreativiti dan tenaga serangan pasukan Terengganu.
Penyerang tengah – Rufino Segovia (Selangor)
Beliau memiliki naluri ‘poaching’ yang sangat baik. Melakukan 5 gol sepanjang Februari daripada kedudukan yang tepat pada masa yang tepat. ‘Target man’ Selangor ini nampaknya akan menjadi pemain yang menjadi perhatian dalam pelan taktikal jurulatih lawan.
Jurulatih – Irfan Bakti (Terengganu)
Pemikir ini masih mempunyai sentuhan beliau tersendiri dalam membentuk pasukan yang baik. Terengganu menjadi pasukan dengan gol terbanyak dalam liga untuk Februari dan kekal tak terkalah setakat ini.
Itu adalah XI terbaik pilihan kami untuk MSL 2018 bagi bulan Februari. Anda bagaimana? Komen pilihan anda ataupun beberapa pemain yang anda rasa boleh dipindah masuk ke dalam pasukan ini.