Pemain tengah Arsenal Granit Xhaka masih optimis Arsenal akan menamatkan saingan dalam kelompok 4 teratas musim ini. Arsenal sekali lagi keciciran mata dalam aksi EPL pada minggu lalu. The Gunners dimalukan Leicester 3-0.
Namun begitu Xhaka menuntut rakan rakannya agar bersama-sama memperbaiki prestasi semasa pasukan.
Fokus mereka kini adalah untuk bangkit dalam perlawanan menentang Valencia untuk separuh akhir UEL. Xhaka yakin keputusan yang positif daripada perlawanan tersebut akan membantu menaikkan semula semangat mereka untuk kembali ke prestasi terbaik.
Xhaka juga menyatakan buat masa ini para pemain Arsenal perlu kekal positif tentang peluang mereka untuk menamatkan saingan liga di kelompok 4 teratas.
Beliau berkata: “Ianya sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Kita tidak bermain seperti yang kita selalu tunjukkan. Dan kita gagal membawa pulang mata penting.”
Xhaka juga sedar Arsenal musim ini kerapkali bermasalah di tempat lawan. Beliau menambah: “Kerapkali kita bermain berbeza apabila di tempat lawan.”
“Kamu harus memenangi duel, kamu harus berlari lebih banyak daripada pasukan lawan. Ini kerana penyokong ada di belakang mereka [pasukan lawan]. Semua pasukan dalam EPL ini boleh bermain dan bertarung dengan sesiapa sahaja. Apabila kamu tidak melawan mereka kembali, itu yang akan berlaku seperti apa yang di Leicester.”
“Ya kami berjuang kerana kami turun bermain. Namun perkara ini sukar nak dijelaskan. Selepas kekalahan ini dan setiap kali kalah memang sukar nak cari ayat yang betul untuk menjelaskannya.”
“Kami kalah perlawanan ini dan terlepas peluang untuk kembali ke slot UCL. Kami ada perancangan taktikal untuk perlawanan ini namun ianya tidak menjadi.”
“Kami semua positif. Sudah pastinya kami masih berkeyakinan. Buat masa ini pastinya agak kurang sesuai membincangkan soal 4 teratas dalam pada kita bersiap sedia untuk perlawanan Liga Europa menentang Valencia. Ini separuh akhir dan kedua dua pasukan sedar sedang bermain untuk ke final. Segalanya boleh berlaku. Dan kini kamu 3 perlawanan lagi daripada kejuaraan.”
Xhaka menjelaskan selepas kekalahan di tangan Leicester – mereka sepasukan berasa sangat kecewa dan mahu bangkit memperbaiki keadaan.