Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Formasi Berlian Man. United Sukarkan Sarriball

Manchester United dan Chelsea terikat 1-1 di Old Trafford dalam perlawanan yang penting untuk aspirasi 4 teratas.

Taktikal Berlian Man. United

Secara asasnya, United bermula dengan sitem 4-4-2 berlian. Mereka meletakkan Juan Mata di no.10 dan Lukaku-Rashford sebagai penyerang kembar.

Sebelum ini Solskjaer sudah mencuba pelbagai formasi termasuk bek bertiga, 4-4-2, 4-3-3. Nampak gayanya sistem berlian ini kelihatan seperti penyelesaian jangka pendek untuk mereka mengharungi baki musim ini.

Kenapa?

Dengan sistem ini, di tengah – aksi Pogba dan Hererra sangat baik. Ianya sangat bergantung kepada kestabilan berlian United yang menjadikan Matic sebagai kaki asas (based) kepada tengah berlian ini.

Pogba selesa dengan sistem yang membenarkan beliau lebih ke hadapan. Hererra lebih box-to-box berbanding dengan Pogba. Lihat carta hantaran United yang sangat stabil menerusi Pogba. Yang menghamoakan adalah terputus di bahagian Rashford.

Namun harus diakui juga Chelsea agak lemah rantaian tengah mereka membuatkan Man. United lebih selesa di tengah. Pada separuh masa pertama, isu utama Man. United adalah Rashford yang terlalu banyak lambat serta kadangkala terlepas bola dengan mudah.

Ada juga perkhabaran menyatakan Rashford tidak cukup cergas dalam perlawanan ini. Jika benar maknanya Solskjaer menurunkan pemain tak cergas?

Berbalik kepada pertarungan di tengah: anda lihat peta haba melibatkan 3 pemain tengah pasukan masing-masing. Anda dapati Jorginho-Kante-Kovacic bergelut untuk mendapatkan ‘jajahan’ di tengah.

Taktikal Chelsea

Jika anda tanya siapa pasukan lebih baik? Kami akan katakan ianya Man. United. Chelsea dikira bernasib baik kerana tak kalah perlawanan ini. Selain daripada lemah cengkaman di tengah, Chelsea berhadapan dengan isu ruang terlalu besar diberikan kepada Man. United.

Jorginho pastinya menjadi pemain yang akan menjadi perhatian setiap kali isu pertahanan ini keluar. Tiada perlindungan kepada bek berempat daripada bahagian tengah. Mujur David Luiz bermain sangat baik dalam perlawanan ini. Mungkin aksi terbaik beliau tahun ini.

Situasi di bawah ini menunjukkan Chelsea cuba bermain man vs man defending. Namun Jorginho terlalu mudah melepaskan Mata di belakang beliau.

Cesar Azpilicueta juga menujukkan kualiti ‘captaincy’ beliau dengan berjuang untuk menghalang United daripada mendapatkan gol ke-2.

Di bahagian serangan Chelsea terlalu bergantung kepada Eden Hazard. Willian misalnya – beliau beberapa kali berlari membawa bola – semata-mata untuk memberikannya kepada Hazard daripada ‘flank’ seberang.

Higuain mengingatkan kita kembali kepada Morata. Beliau sangat cemerkap dan kerap terlena di garisan akhir pertahanan lawan. Beliau ofsaid 5 kali dalam perlawanan ini.

Satu lagi isu yang pasti memeningkan Chelsea adalah pasukan perubatan mereka yang sebelum ini mengesahkan Rudiger boleh bermain. Sedangkan beberapa minggu lalu, pemain itu diusung keluar padang kerana kesakitan – ramai berpendapat ianya bermakna musim Rudiger berakhir.

Sarri pastinya mahukan penjelasan tentang perkara ini daripada petugas perubatan beliau. Rudiger cedera sekali lagi dan terpaksa dikeluarkan. Seorang lagi pemain yang kelihatan bergelut dengan kecergasan ialah N’golo Kante.

Kesilapan De Gea

Ini merupakan sebab kenapa Chelsea seri dan juga kenapa Man. United tidak mendapat 3 mata. Ianya lebih kepada 2 mata hilang untuk United berbanding dengan 1 mata dibawa balik oleh Chelsea.

De Gea sekali lagi melakukan kesilapan penjaga gol yang mencetuskan gol lawan. Pemain yang paling boleh harap dalam pasukan Man. United ini kelihatan tidak cukup fokus dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Sumber Sarriball ditekan

Sebelum ini kami pernah menjelaskan bahawa setiap kali Jorginho ditekan, Sarriball akan bermasalah. Dan mereka akan bergantung kepada keupayaan individual seperti Eden Hazard.

Dalam perlawanan ini sistem berlian oleh Man. United secara tak langsung mewujudkan 1 v 1 secara terus (direct).

Namun malangnya Maurizio Sarri sangat degil dengan pelan A beliau dalam perlawanan ini. Beliau terus kekalkan sistem yang sudah terang terang ditekan di Pivot.

Jorginho tidak bermain teruk dalam perlawanan ini untuk fasa binaan serangan – cuma dalam fasa bertahan beliau kerap bergelut untuk melindungi pertahanan.

Rumusan

Secara rumusannya, kami berpendapat, sistem tengah berlian ini sangat sesuai dengan Man. United. Ianya mungkin akan menjadi sistem terbaik untuk jangka pendek dan juga boleh dijadikan opsyen untuk dibangunkan pada jangka panjang oleh Solskjaer.

Namun harus diakui Man. United tidak cukup tajam di ‘final third’. Ia bagi kami kerosakan yang perlu diperbaiki berbanding dengan cuba mencari sistem lain buat masa ini.

Jika Solskjaer mahu menjadikan sistem ini asas kepada pembentukan pasukan beliau musim hadapan, baki perlawanan yang ada sangat penting untuk data kajian beliau. Daripada situ, beliau boleh mengarahkan jabatan pemantau bakat untuk mencari pemain yang sesuai dibawa masuk.

Sistem ini jelas membolehkan United mendapatkan yang terbaik dan daripada Juan Mata yang bermain posisi utama beliau – no. 10.

 

Untuk pasukan Chelsea, ini bukan perlawanan terbaik mereka. Mereka kerapkali terlena di tengah padang dan memaksa pertahanan di garisan terakhir melakukan bentesan. Maurizio Sarri pastinya sedar, sudah beberapa minggu mereka bergelut dengan sistem terutama sekali berhadapan dengan big six.