‘What Can You Do, JDT?’ Banyak Kecuali Satu

JDT

Dengan musim 2023 yang bakal membuka tirai pada Febuari, mata peminat bola sepak tempatan dan Asia akan tertumpu kepada persiapan JDT di Dubai, UAE. Apa yang boleh JDT lakukan menentang Rostov (Rusia), Levski Sofia (Bulgaria), Lokomotiv Moscow (Rusia) dan Zenit St. Petersburg (Rusia) nanti? Apa yang Esteban ‘Tano’ Solari boleh lakukan dengan limpahan bakat yang ada di pasukan kendalian baharunya?

Tumpuan peminat sememangnya berkisar tentang apa yang boleh JDT lakukan.

Musim lepas, JDT telah membuktikan sememangnya banyak yang mereka boleh lakukan. Menjuarai Piala Sumbangsih? Boleh. Menjuarai Piala FA? Boleh. Menjuarai Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut? Juga boleh. Menjuarai Piala Malaysia untuk melengkapkan quadruple pertama dalam rekod bola sepak Malaysia? Dengan penuh bergaya, mereka berjaya melakukannya.

Di peringkat Asia musim lepas, Harimau Selatan membuktikan pasukan Malaysia sebenarnya boleh meloloskan diri dari peringkat kumpulan AFC Champions League. Semua pencapaian ini, secara retrospektifnya, amat cemerlang terutamanya jika mengambil kira hakikat JDT terpaksa menukar ketua jurulatihnya di tengah-tengah musim.

Jadi secara semulajadinya, adalah normal bagi penyokong JDT (dan pengkritik JDT) untuk bertanya: apa lagi yang TMJ, Alistair Edwards, Martin Prest, Hector Bidoglio, Tano Solari, barisan staf kejurulatihan dan pemain-pemain boleh lakukan pada musim ini pula?

Soalan ini berkait rapat dengan ‘mantra’ baharu JDT kebelakangan ini – what can you do? Ia menuntut JDT, stafnya dan pemain-pemainnya untuk bersifat introspektif. Untuk meneliti tahap produktiviti mereka. Apa yang mereka boleh buat untuk pasukan? Apa yang JDT boleh buat untuk penyokongnya? Apa yang JDT boleh buat untuk Malaysia?

Dalam konteks musim 2023 yang baharu ini, mentaliti #WhatCanYouDo yang diilhamkan oleh TMJ ini menuntut JDT untuk menaikkan siling mereka. Apa yang dicapai pada musim 2022 bukannya untuk dikenang semata-mata. Semua pencapaian itu perlu diperbaiki. Perlu diatasi. Dan untuk melakukannya, ia perlu disertai dengan tindakan. Berdasarkan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh JDT dalam masa dua bulan ini, jelas mereka serius untuk memecah siling yang dibina pada musim lepas.

Kemasukan jurulatih kecergasan juara Piala Dunia 2022, Rodrigo Barrios adalah indikasi niat paling kuat oleh JDT untuk meneruskan dominasi di peringkat domestik dan memperbaiki pencapaian pusingan ke-16 di Champions League. Kemasukan bekas penganalisis Rayo Vallecano, Matias Garcia untuk mengetuai unit penganalisis kelab pula adalah untuk terus memberikan kelebihan marginal kepada JDT ke atas semua lawannya.

Apa yang berlaku dalam kempen Champions League musim lepas pula mendedahkan JDT kepada hakikat perlunya pemain-pemain berkualiti di posisi Corbin Ong (sayap kiri), Leandro Velazquez (tengah), Bergson da Silva (penyerang) dan Farizal Marlias (penjaga gol). Kemasukan Oscar Arribas, Juan Muniz, Diogo dan Ahmad Syihan adalah petanda jelas niat Harimau Selatan mahu memperbaiki pencapaian mereka di peringkat Asia.

Keindahan #WhatCanYouDo adalah ia mempunyai dua konotasi berbeza – masing-masing cocok dengan naratif JDT. Konotasi pertama untuk pemain, staf dan penyokong – apa yang anda boleh lakukan untuk pasukan? Konotasi kedua pula khas untuk pengkritik – apa lagi yang JDT buat untuk menjawab pengkritiknya?

Setiap kritikan daripada mereka telah berjaya dijawab oleh JDT dengan tindakan. Bukannya cakap-cakap mulut sahaja. JDT tidak menyumbang kepada Harimau Malaya? Telah dijawab dengan panjang lebar oleh TMJ pada bulan lepas. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini TMJ mengumumkan skuad Harimau Malaya boleh menggunakan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue sementara padang rumput SNBJ dinaik taraf (hasil tajaan TMJ juga).

Minggu lepas, JDT turut mengumumkan akan menandatangani perjanjian mega dengan sebuah jenama kecergasan global yang bakal memberi manfaat kepada skuad kebangsaan. Bagaimana? TMJ menitahkan JDT untuk memperuntukkan peralatan kecergasan untuk skuad kebangsaan sebagai usaha untuk meningkatkan standard bola sepak Malaysia.

JDT tidak membangunkan bakat pemain muda? Kritikan ini bukan sahaja telah dijawab dengan fakta kenaikan profil Arif Aiman sebagai pemain paling bernilai negara buat dua tahun berturut-turut. Pada musim lepas, kritikan ini dibuktikan salah menerusi promosi Feroz Baharudin, Daryl Sham dan Adam Farhan ke skuad senior.

Pada musim baharu ini, dua lagi nama pemain muda akademi akan diberi pendedahan skuad senior. Ini selepas Aysar Hadi dan Zulhilmi Sharani dijemput menyertai skuad senior ke kem pra-musim di Dubai baru-baru ini.

Apa lagi yang anda boleh buat jika pengkritik anda masih mahu terus mengkritik?

Bagi JDT, memang banyak yang mereka boleh buat dalam dan luar padang. Kecuali satu: menutup mulut pengkritik yang mengkritik tanpa fakta. What can you do?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN