Dalam temuramah pertama bersama The Guardian selepas secara rasmi meninggalkan Arsenal, Arsene Wenger telah bercerita tentang ‘bakal’ penggantinya di Arsenal, Mikel Arteta.
Walaupun belum secara rasmi dilantik, Arteta merupakan calon hangat dan paling hampir yang bakal mengambil alih pengurusan The Gunners untuk saingan musim hadapan.
Pep Guardiola ketika menandatangani kontrak lanjutan juga dikatakan telah memberi restu kepada anak muridnya itu untuk memulakan karier sebagai pengurus.
Ketika ini Arteta merupakan pembantu pengurus di kelab yang baharu ditabal sebagai juara Liga Premier Inggeris (EPL) musim 2017/18, Manchester City.
Sekitar Januari lalu, dikatakan Wenger adalah individu yang telah mencadangkan nama Arteta kepada pihak Lembaga Pengarah Arsenal. Anda boleh rujuk artikel, ‘Tiada Rahsia Lagi, Wenger Sedia Lepas Jawatan, Mahu Arteta Jadi Pengganti‘.
Walaubagaimanapun, Wenger mengesahkan di dalam temubual khas tersebut bahawa dia sebenarnya tidak terlibat dan pendapatnya langsung tidak diminta oleh Arsenal.
“Setidak-tidaknya mereka tidak boleh menyalahkan saya sekiranya berlaku keputusan tidak baik di masa depan,” ujarnya kepada wartawan, Darren Tulett sambil ketawa.
“Mereka tidak meminta untuk saya terlibat dalam proses itu. Jadi, saya biarkan mereka memilih pengurus dan selepas itu saya akan menyokongnya, walau siapa pun yang dilantik,” jelas Wenger.
Sekiranya benar bekas kapten Arsenal berusia 36 tahun itu bakal menjadi pengendali baharu Arsenal, Wenger yakin dengan kemampuannya dan tidak salah untuk Arsenal mencuba.
“Saya tidak mahu mempengaruhi keputusan itu. Penting untuk mereka membuat pilihan mereka dengan cara yang objektif dan saya tidak mahu apa-apa yang saya katakan akan disalah erti.
“Untuk Arteta, adakah dia mempunyai kualiti untuk pekerjaan itu? Ya. Dia seorang pemimpin dan dia mempunyai semangat dalam permainan dan dia kenal kelab itu dengan baik.
“Dia tahu apa yang terbaik buat kelab dan dia juga adalah bekas kapten kelab itu. Jadi, mengapa tidak?” ulas panjang lebar Wenger mengenai bekas pemainnya itu.
Tetapi Arteta yang akan hadir tanpa sebarang pengalaman sebagai pengurus dan menimbulkan sedikit kebimbangan dalam kalangan para penyokong Arsenal ketika ini.
Menurut laporan Daily Star, Lembaga Pengarah Arsenal akan bersidang pada Isnin depan dan dijangka perkara perlantikan ini akan diselesaikan pada hari itu.