Perlawanan kompetitif pertama Sri Pahang musim ini nampaknya tidak berlangsung seperti yang diharapkan selepas nyaris diaibkan oleh kelab Liga M3, Manjung City dalam aksi pusingan pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Rabu.
Skuad kendalian Christophe Gamel tersebut diheret sehingga ke penentuan penalti selepas kedudukan perlawanan kekal tanpa jaringan selepas 120 minit perlawanan termasuk masa tambahan.
Mujurlah ketangkasan penjaga gol import Tok Gajah, Mamadou Samassa berjaya menafikan sepakan penalti kedua Manjung City yang diambil oleh C. Sasikumar dan semua sepakan Sri Pahang berjaya disudahkan untuk memastikan pasukan mereka menang 5-4.
Sri Pahang FC taking the hardest path to advances to the next stage by winning out on Penalty Shootout.#sripahang #WhereLegendsAreBorn #extrajossmalaysia #jomngejossextrajosscergas #kalbemalaysia pic.twitter.com/MVxpVFfbBf
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) March 23, 2022
Walaupun mara ke pusingan seterusnya, aksi yang ditampilkan oleh pasukan dari Pantai Timur Semenanjung itu ternyata membimbangkan kerana jelas tidak tersusun sepanjang perlawanan seolah-olah langsung tiada corak atau taktikal yang diterapkan.
Dengan peraturan pertandingan yang membenarkan hanya empat pemain import diturunkan, Gamel tetap menekan ‘butang panik’ dengan menggunakan kesemua lima pemain importnya apabila menggantikan Mahmoud Za’tara dengan Samassa pada awal babak kedua.
Ia bukanlah aksi yang diharapkan oleh penyokong setia pasukan yang terpaksa menunggu hampir tiga minggu akibat dari masalah jangkitan Covid-19 yang melanda pasukan melibatkan 20 orang pemain pada awal bulan ini.
Ketiadaan tonggak utama Nor Azam Azih yang sedang bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan Tri Nations Series di Singapura juga mungkin memberi kesan yang besar terhadap corak permainan pasukan.
Pada awal musim ini, Sri Pahang telah mencuri tumpuan apabila berjaya membawa masuk pemain-pemain import berprofil tinggi selain mengekalkan Manuel Hidalgo. Mereka turut memiliki dua pemain yang bakal dinaturalisakan serta tiga orang pemain kacukan.
‘Ikut Resepi JDT?’ – Sri Pahang Miliki 5 Import, 2 Naturalisasi, 2 Kacukan Musim Ini
Pemilihan Gamel yang berasal dari Perancis selaku ketua jurulatih serta kemasukan Samassa, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone yang pernah beraksi di kancah Ligue 1 membuatkan pemerhati dan penyokong mengharapkan skuad ini dibentuk dengan ‘DNA Perancis’.
Meskipun semua pihak memahami bahawa perubahan tidak boleh berlaku am satu malam sahaja, tetapi berdasarkan aksi yang diperagakan di Kuantan pada malam tadi tidak menampakkan Sri Pahang sedang menuju ke arah yang tepat.
Bak kata pepatah, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Pastinya Gamel tidak mahu nasib yang menimpa Thomas Dooley yang ‘direhatkan’ pada awal musim lalu hanya selepas empat perlawanan berulang pada dirinya.
Sekiranya perkara buruk tersebut terjadi juga, adakah Sri Pahang akan kembali memanggil Dollah Salleh yang menjadi ‘stok kecemasan’ pada musim lalu?
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!