Khuzaimi Piee, Safiq Rahim & ‘Kitab Lama’ Antara 5 Perkara Kemenangan Malaysia Ke Atas Filipina

Malaysia Filipina 2022 persahabatan

Malaysia berjaya mengatasi cabaran Filipina dalam aksi pertama persahabatan Tri-Nations Series dengan kemenangan 2-0 di Stadium Nasional Singapura, malam tadi, hasil dua jaringan pemain sayap, Akhyar Rashid.

Ia juga menandakan langkah kanan era baharu pengendali kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon yang telah mengambil alih sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya daripada Tan Cheng Hoe sejak hujung Januari lalu.

Ini merupakan lima perkara tentang aksi pertama Harimau Malaya di bawah kepimpinannya berdepan Filipina.

Terbukti ‘kitab’ lama Kim Pan-gon jadi panduan

Semuanya BOLA ada mendedahkan tentang ‘kitab’ lama Kim Pan-gon ketika bersama Hong Kong sekitar 2016.

‘The Hong Kong Way’ – Manuskrip Ini Jelaskan Peranan Besar ‘Wingback’ dan ‘DM’ Dalam Sistem Kim Pan-gon

Malaysia turun dengan formasi 4-3-3 seperti yang dijangkakan dengan defensive midfielder beliau akan menjadi half-back dengan turun lebih ke bawah – di antara dua bek tengah bagi membentuk formasi seakan-akan 3-4-3.

Dan, sememangnya peranan itu diberikan kepada Syamer Kutty Abba, pemain tengah yang pernah bermain sebagai bek tengah Johor DT dalam saingan Liga Malaysia musim lalu. Jelas, beliau tampak bermain baik.

Selain peranan besar oleh defensive midfielder, wingback juga akan memainkan peranan besar dalam ‘kitab’ lamanya. Dan pemain yang diturunkan malam tadi sangat berprestasi tinggi, iaitu Dion Cools dan Corbin Ong.

Malaysia nampak lebih ‘lapar’ dan agresif

Satu permainan yang sudah lama tidak kelihatan selepas pandemik Covid-19 iaitu Malaysia lebih banyak memburu bola untuk mengekalkan penguasaan disamping tampil sedikit agresif berdepan skuad Azkals.

Itu memang gaya permainan yang dimahukan Kim Pan-gon. Dan seperti yang kita tahu, Filipina adalah skuad yang ‘keras’ dalam saingan Piala AFF 2020 dan mungkin disebabkan itu, Malaysia juga turun lebih agresif. Natijahnya, Malaysia terlebih dahulu menjadi pasukan pertama dilayangkan kad kuning menerusi Corbin Ong.

Di luar jangkaan sebenarnya apabila melihat Dion Cools berada dalam kesebelasan utama disebabkan baru sahaja menyertai kem latihan, hari sebelumnya. Namun, prestasinya di posisi sebenarnya amat mengagumkan.

Perkongsian Sedikit ‘Insights’ Daripada Kim Pan-gon Yang Curi Perhatian Dalam Pemilihan Pemainnya

Khuzaimi Piee tunjuk kenapa Kim Pan-gon berhajatkannya

Kim Pan-gon menurunkan gandingan baharu di bek tengah benteng skuad negara – Shahrul Saad dan Khuzaimi Piee. Mungkin pada awalnya, ramai yang berasa kurang yakin disebabkan aksi pertama dan terakhirnya dengan Harimau Malaya adalah pada Oktober 2016. Sebaliknya berlaku apabila beliau tampil cemerlang di benteng.

Ramai juga mungkin berasa pelik apabila bek kanan, Rizal Ghazali yang tidak melapor diri tetapi digantikan dengan Khuzaimi Piee yang merupakan bek kiri Negeri Sembilan FC. Namun, Kim Pan-gon tidak membiarkan kita tertanya-tanya apabila memberikan sedikit ‘insights’ mengapa beliau mahukan pemain berkaki kiri itu.

“Atas sebab taktikal [selepas Rizal Ghazali tidak melapor diri], pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri.”

Kim Pan-gon

Gandingannya bersama Shahrul Saad dan half-back, Syamer Kutty tunjang mengapa Malaysia gagal dibolosi. Di JDT, Shahrul Saad sudah biasa berada di sebelah kanan bek bertiga, sementara Khuzaimi Piee pula sudah biasa bermain bek bertiga di sebelah kiri bersama Negeri Sembilan dalam aksi awal saingan Liga Super musim ini.

Akhyar Rashid menyerlah disebalik kurang minit bermain

Jangkaan awal tentu tiada siapa akan meletakkannya dalam senarai kesebelasan utama. Musim ini, beliau hanya tampil tujuh minit selepas dua perlawanan dilalui JDT. Musim lalu pula beliau hanya bermain sembilan kali dan merekodkan 127 minit permainan. Jelas, beliau tidak berada dalam fikiran kita untuk skuad utama.

Begitupun, Kim Pan-gon tahu bagaimana untuk uruskan pemain sebegini. Akhirnya, Akhyar Rashid berhasil mencetak dua gol yang kemas. Kombinasinya bersama Syafiq Ahmad juga jelas tiada keraguan apabila gol kedua Harimau Malaya adalah hasil kombinasi permainan mereka. Ia dilakukan dalam penampilan ke-30.

Sedikit merugikan, dalam babak pertama, beliau mampu melakar lebih daripada dua gol, malah mungkin hatrik!

‘Panggilan Kecemasan’ Buat Safiq Rahim Sebagaimana Shukor Adan Pada Piala AFF 2014?

Sang jeneral – Safiq Rahim kembali!

Sebelum saingan Piala AFF Suzuki 2020 lagi Semuanya BOLA berkempen, Safiq Rahim perlu kembali ke dalam skuad kebangsaan. Malaysia kehilangan seorang jeneral padang sejak ketiadaannya dan langsung tiada pengganti setara. Paling hampir adalah Nor Azam Azih, itupun bukan all-rounder midfielder sepertinya.

Malam tadi, beliau membuktikan telahan kami benar. Beliau arkitek yang sudah lama Harimau Malaya hilang. Permainannya masih sama walaupun sudah berusia 34 tahun. Sikap dan sifatnya juga masih sama – bekeng.

Walaupun kurang minit permainan, apa yang ditampilkannya semalam jelas menunjukkan beliau masih layak bersama Harimau Malaya. Selepas hampir sejam beraksi, Liridon Krasniqi masuk untuk menggantikannya dan skuad negara ‘tenggelam’ sehingga ke wisel penamat. Terang lagi bersuluh, Safiq Rahim masih ada kualiti.

Filipina bukanlah skuad biasa untuk Malaysia hadapi. Mereka adalah yang ketiga terbaik di Asean di belakang Vietnam dan Thailand – mengikut ranking FIFA. Malaysia pula di belakang mereka termasuklah Myanmar.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN