Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan beliau semalam melakukan tinjauan ke Stadium Nasional Bukit Jalil yang merupakan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya.
Lawatan ke atas stadium berkapasiti 87,411 itu bertujuan untuk beliau melihat sendiri gelanggang yang akan menjadi tuan rumah pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun nanti.
Malaysia yang diundi di dalam Kumpulan E akan membuka tirai saingan pada 11 Jun berhadapan Turkmenistan, sebelum bertemu Bahrain tiga hari kemudian.
Lawatan kerja pengurus bola sepak Korea Selatan yang kini merupakan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia, Tuan Kim Pan-gon bagi meninjau fasiliti dan padang di Stadium Nasional, KL Sports City. #KLSportsCity#StadiumNasional#HarimauMalaya#KeluargaMalaysia pic.twitter.com/iVve0feK9f
— Stadium.Malaysia 🏟️🇲🇾 (@StadiumMalaysia) March 8, 2022
Selepas itu pasukan negara akan menutup saingan Kumpulan E menentang Bangladesh pada 14 Jun.
Juara kumpulan dan lima pasukan naib juara terbaik akan mengisi 11 slot terakhir dan layak ke pusingan akhir di China pada tahun hadapan.
Berdasarkan ciapan Stadium Malaysia semalam, Stadium Nasional Bukit Jalil turut akan digunakan sebagai tempat latihan pasukan negara menjelang pusingan kelayakan tersebut.
Pau Marti kagum
Turut menarik perhatian adalah ciapan pembantu jurulatih, Pau Marti Vincente yang turut serta dalam rombongan melakukan tinjauan tersebut.
“Hari ini kami melawat [Stadium Nasional] Bukit Jalil! Ia amat hebat melawat ‘rumah’ baharu kami ini. Sudah tidak sabar untuk menjalani latihan bersama pemain di sini.
Today we visited Bukit Jalil! It was great to know our new home⚫️🟡
Looking forward to train with the players on this field. I am sure with this stadium full of supporters, we can dream big💪🏼 pic.twitter.com/qluTf7poZt— Pau Martí (@pauvicentem) March 8, 2022
“Saya amat yakin sekiranya stadium dipenuhi dengan penyokong, kita semua boleh mengimpikan sesuatu yang besar [we can dream big],” tulis beliau dalam ciapan tersebut.
Untuk rekod kali terakkhir skuad negara beraksi di pusingan akhir Piala Asia adalah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama Indonesia dan Vietnam.
Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir secara merit pula adalah pada 1980 ketika pertandingan tersebut diadakan di Kuwait.