Warkah Hazard Buat Penyokong Imbau Kenangan Bersama Chelsea

Real Madrid akhirnya mencapai kesepakatan untuk perpindahan Eden Hazard setelah dilaporkan bersetuju membayar yuran perpindahan sekitar £88 juta dan tambahan beberapa lagi bonus.

Hazard akan menjalani ujian medikal pada 13 Jun ini selepas tamat tugasan antarabangsa sebelum diperkenalkan kepada umum.

Sehubungan dengan itu, penyerang antarabangsa Belgium ini sempat melakukan coretan terakhir untuk penyokong Chelsea sebagai ucapan perpisahan.

Berikut adalah coretan Hazard yang kami terjemahkan.

Impian masa kecil

Anda semua tahu bahawa saya akan menyertai Real Madrid. Ia bukannya rahsia [beraksi bersama Real Madrid] adalah impian saya semasa kecil, sejak selepas menjaringkan gol pertama. Saya telah berusaha sebaik mungkin untuk tidak terganggu dalam tempoh sukar akibat spekulasi dan perhatian diberikan media, terutama dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini.

Kini kedua-dua kelab telah mencapai persetujuan, dan berharap anda [penyokong] boleh memahami saya perlu melangkah ke tahap seterusnya – sebagaimana setiap daripada kita mahu mengejar impian masing-masing. Meninggalkan Chelsea adalah keputusan terbesar dan sukar sepanjang tempoh karier saya setakat ini. Kini secara terbuka saya mahu menjelaskan sesuatu kepada semua, bahawa saya menikmati setiap saat bersama Chelsea, dan tidak pernah sekali pun saya terfikir untuk pergi demi menyertai mana-mana kelab sebelum ini.

Suka dan duka

Saya hanya berusia 21 ketika menyertai Chelsea, dan pada hari ini saya adalah seorang lelaki dewasa dan seorang pemain. Bersama anda semua, anda telah membantu menjadikan saya kapten pasukan kebangsaan Belgium. Sudah tentu terdapat juga detik sukar, untuk pasukan dan juga untuk diri saya secara peribadi [sepanjang karier]. Inilah bola sepak profesional. Namun bagi saya bola sepak ialah mengenai bermain di setiap perlawanan dan untuk menikmati setiap detik yang dilalui. Kita semua bertuah kerana [berpeluang] bermain sukan yang indah ini, dan ini adalah nasihat saya yang mahukan sebarang tip. Bermainlah bola sepak dan nikmatilah!

Walaupun ketika kami tidak beraksi dengan baik, saya tetap memberikan sebaik mungkin. Untuk itu, saya berterima kasih kepada sokongan luar biasa anda. Semangat melawan, keinginan yang tinggi dan enggan menyerah kalah adalah sebahagian daripada budaya di Chelsea, dan semua ini datangnya dari anda.

Detik istimewa

Ketika saya mengimbau kembali detik istimewa menyarung jersi Chelsea, ia sebenarnya sangat banyak. Kami memenangi lebih banyak perlawanan daripada yang kalah. Bagi yang mengenali saya sudah pasti anda tahu ianya bukan sikap saya untuk menyenaraikan apa yang pernah dimenangi. Tetapi saya mahu nyatakan apa sahaja yang dimenangi secara berpasukan atau anugerah individu [ketika bersama Chelsea], semua itu amat menakjubkan. Satu hari nanti saya akan duduk untuk minum bir dan akan mengenang kembali dengan tawa bagaimana saya gagal menyempurnakan penalti, yang berakhir dengan tandukan yang memberikan kemenangan liga dalam perlawanan menentang Palace, atau gol-gol yang saya pernah jaringkan ketika menentang Tottenham, Arsenal atau Liverpool.

Memori itu sangat jelas disebabkan suasana yang anda [penyokong] hasilkan. Saya berharap anda akan terus mengingatinya dengan penuh bangga seperti mana saya mengingatinya. Tidak kira ketika pra musim di USA, atai di Sunderland pada malam perlawanan Selasa, perlawanan di Rusia pada Khamis, atau pada SETIAP perlawanan di Stamford Bridge – anda semua sentiasa memberikan sokongan kepada saya untuk bermain bola sepak, dan menjadikan diri saya seperti hari ini – Sepertimana saya menikmati setiap saat tersebut, saya juga berharap anda juga sedemikian. Saya cuma kesal kerana tidak pernah membawa anugerah khas untuk pertahanan di kalangan apa yang pernah saya menangi bersama Chelsea.

Chelsea sentiasa istimewa

Chelsea memiliki ramai pemain hebat, dan ianya adalah satu kebanggaan untuk menjadi sebahagian dari pasukan ini. Kami memenangi Piala FA, Piala Liga, trofi UEFA Europa League, dan juga Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai satu keluarga. Setiap daripadanya amat istimewa, dan sudah tentu perlawanan di Baku adalah cara terbaik untuk mengakhiri satu musim yang panjang selepas Piala Dunia tahun lalu.

Chelsea terutama penyokongnya sentiasa istimewa kepada saya. Musim hadapan, keputusan perlawanan Chelsea akan saya ikuti. Sudah tentu saya berharap kita diundi menentang satu sama lain di pertandingan UEFA Champions League, supaya kita boleh berjumpa setiap musim.

Sebelum saya pergi, saya mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak di kelab untuk pekerjaan anda sepanjang saya disana. Kepada semua pemain, saya akan mengucapkan terima kasih bila tiba masanya. Kepada pemilik, Encik Abramovich dan ahli lembaga pengarah, terima kasih kerana merealisasikan bukan satu, tetapi dua impian saya. Pertama ialah ketika saya bergelar seorang pemain Chelsea. Dan hari ini, ketika saya menjadi pemain Real Madrid.

Saya mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada setiap daripada anda rakan-rakan saya.

Penutup

Coretan di atas diambil dari Facebook milik Eden Hazard sebaik sahaja perpindahan beliau diumumkan secara rasmi daripada Real Madrid.

Selamat maju jaya Eden Hazard.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN