Quantcast

BERITA

Piala Dunia B-20: Itali dan Ukraine Tempah Tiket Separuh Akhir

Kejohanan Piala Dunia Bawah-20 sudah memasuki fasa suku akhir. Malam tadi, dua perlawanan berlangsung. Dua wakil Eropah sudah sah mara ke separuh akhir.

Pesta gol

Itali bertemu dengan Mali dalam perlawanan yang diadakan di Lodz, Poland. Pemain Mali, Ibrahima Kone menjaringkan gol sendiri pada minit ke-12 untuk memberikan peluang Itali mendahului.

Kemudiannya, Koita menyamakan kedudukan pada minit ke-38 untuk memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. Kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan tersebut sewaktu separuh masa pertama tamat.

Andrea Pinamonti menjaringkan gol kedua Itali pada minit ke-60. Mohamed. Camara pula menyumbat gol untuk Mali pada minit ke-79.

Itali dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-83 dan disempurnakan oleh Pinamonti. Derita Mali bertambah apabila Davide Frattesi menjaringkan gol keempat bagi melengkapkan kemenangan bergaya Itali.

Itali menewaskan Mali dengan skor 4 berbalas 2.

Satu gol terpisah

Dalam satu perlawanan suku akhir yang lain, Ukraine diundi bertemu Colombia. Danylo Sikan menjadi penjaring gol tunggal untuk Ukraine.

Namun begitu, perlawanan ini dicemari dengan insiden panas. Pemain Ukraine, Denys Popov dijatuhkan dengan sengaja oleh Johan Carbonero pada minit ke-83.

 

Pengadil perlawanan, Mustapha Ghorbal terpaksa merujuk VAR untuk menentukan nasib Carbonero. Akhirnya, Carbonero dilayangkan kad merah.

Kedudukan jaringan yang dimiliki Ukraine itu kekal sehingga tamat masa sebenar perlawanan. Ukraine mara ke separuh akhir Piala Dunia Bawah-20 buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka.

Semasa ditemuramah oleh FIFA, Sikan mengakui gol dijaringkan beliau itu paling penting dalam kariernya. Pemain kelab Mariupol di Ukraine itu meluahkan bahawa pasukan belia Ukraine itu mahu memenangi Piala Dunia Bawah-20 bagi edisi kali ini.

Sikan telah menjaringkan 4 gol dalam 5 perlawanan disertainya untuk kempen di Poland kali ini.

Satu wakil Eropah ke final?

Ukraine akan dijadualkan bertembung Itali pada perlawanan separuh akhir. Perlawanan sesama wakil Eropah ini akan diadakan pada 11 Jun.

Hari ini, Amerika Syarikat akan menentang Ecuador di Gdynia manakala Korea Selatan akan melawan Senegal.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!