Skuad The Bos Gaurus manfaatkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka sejak minggu lalu apabila bakal mengumumkan tiga pemain import baharu memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi perlawanan yang lebih mencabar selepas ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar mengesahkan dua pemain dari Brazil bakal menggantikan tempatan Gilmar Jose Da Silva dan Zac Anderson yang ditamatkan kontrak kerana gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.
Bagaimanapun, Tajul enggan mendedahkan identiti dua pemain import baharu itu yang telah pun menandatangani kontrak dengan pasukan Perak.
“Mereka sudah ikat kontrak dan akan diturunkan dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA bertemu PKNP FC di Stadium Perak, Sabtu ini.
“Gilmar dan Anderson digugurkan kerana prestasi kurang memuaskan ketika pusingan pertama liga dan Piala FA,” katanya dalam Stadium Astro.
Seorang lagi pemain import, Wander Luiz Bitencourt Junior pula disahkan menarik diri daripada pasukan kerana masalah kesihatan anaknya.
Setakat ini, Perak hanya mengekalkan khidmat Leandro Dos Santos yang beraksi di bahagian tengah. Mereka juga dalam perancangan untuk membawa masuk bekas pemain import PKNS FC, Faris Ramli untuk kuota pemain import Asean.
“Wander tarik diri kerana tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasan berikutan masalah kesihatan anaknya.
“Kami sedang berurusan dengan pemain dari Singapura itu dan berharap mendapat respons positif daripada penyerang tersebut,” tambahnya.
Perak akan bertemu PKNP FC di Ipoh untuk aksi suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini bagi memburu tiket ke peringkat separuh akhir menentang Pahang atau Terengganu FC.