Kemenangan 1-0 ke atas KL City dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada 8 Julai lalu meredakan sedikit tekanan buat pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner yang sebelum ini seakan sudah tidak digemari peminat setia Gergasi Merah.
Saya menonton sendiri aksi Selangor di Stadium MBPJ pada Jumaat lalu untuk mendapatkan gambaran lebih dekat aksi mereka. Saya masih kekal dengan pendirian untuk melihat pengendali dari Jerman itu dipecat pengurusan skuad Selangor.
Bagi saya aksi keseluruhan Selangor masih tidak kemas sepenuhnya dan mungkin mereka bernasib baik kerana KL City gagal menyempurnakan beberapa peluang gol yang dicipta.
Jika dilihat kepada aksi Selangor, barisan pertahanan tampak masih ada melakukan kesilapan yang mampu mengundang padah buat pasukan secara keseluruhannya.
Di bahagian tengah pula, penulis tidak faham mengapa awang import Selangor II, Alex Agyarkwa diturunkan berdepan KL City kerana tidak jelas peranannya sebagai nombor 6 atau pemain tengah bertahan.
Bagi saya, Agyarkwa bukan pemain tahap Liga Super begitu juga pemain tengah dari Myanmar, Hein Htet Aung yang seakan tidak berfungsi membantu jentera tengah.
Ketika melakukan penampilan sulung musim lalu, kedua-dua pemain ini mencuri tumpuan namun ketika ini mungkin khidmat mereka hanya sesuai buat Selangor II dalam saingan Liga Premier.
Secara jujurnya, saya percaya lebih baik Selangor II yang bertindak sebagai pasukan simpana mengutamakan bakat tempatan berkualiti berbanding pemain import muda yang bukannya mempunyai kualiti tahap Liga Super.
Namun, terdapat beberapa akspek positif dalam permainan Selangor pada Jumaat lalu kerana bukan mereka tiada pemain berkualiti dalam pasukan mereka, tetapi mungkin taktikal dan penekanan terhadap taktikal tekanan tinggi dan awal oleh Feichtenbeiner tidak sesuai seperti yang saya tekankan dalam artikel sebelum ini.
Selangor Perlukan Nafas Baharu, Sudah Masanya Michael Feichtenbeiner Disingkirkan
Quentin Cheng dan Fazly Mazlan jika kita lihat dengan lebih terperinci, adalah dua pemain yang cukup berkualiti selaku bek sayap kanan dan kiri yang mampu menjadi tunjang utama pasukan.
Pemain B-23 Malaysia, Mukhairi Ajmal pula adalah pemain yang paling menonjol ketika berdepan KL City menerusi umpanan tepat, kawalan bola yang baik serta bacaan permainan yang lebih bijak.
Bagai saya, ia jelas menunjukkan bekas pemain PKNP ini kian matang dan sedikit masa lagi, saya berasa Mukhairi mampu menjadi tonggak utama Selangor.
Apa yang penting buat Selangor ketika ini, mengenal pasti calon-calon jurulatih yang mampu mengendalikan pasukan sehingga ke aras lebih tinggi.
Menurut khabar, Tan Cheng Ho ada dalam senarai tersebut namun masih belum ada kenyataan rasmi dari kem Selangor untuk menyokong atau menafikannya.