Selangor Perlukan Nafas Baharu, Sudah Masanya Michael Feichtenbeiner Disingkirkan

Michael Feichtenbeiner

Pemilik, pihak pengurusan atau pengendali pasukan, Michael Feichtenbeiner atau pemain yang bersalah dalam kemelut kemerosotan skuad Selangor dalam saingan Liga Super?

Sejujurnya semua pihak perlu memikul tanggaungjawab diatas aksi hambar Selangor ketika ini namun, bahang tekanan pasti lebih terarah kepada Feichtenbeiner.

Ia jelas, pemilik pasukan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan pihak pengurusan yang diketuai ketua pegawai eksekutif, Dr Johan Kamal Hamidon tampak terlalu percaya dan yakin dengan perancangan Feichtenbeiner sebelum ini.

Memang benar pengurusan pasukan wajar memberi  sedikit masa kepada seseorang jurulatih mencanang taktikal terbaik buat pasukan. Namun, selepas empat musim Feichtenbeiner tiba bermula sebagai pengarah teknikal serta pengendali Selangor II, tiada kejayaan yang boleh dibanggakan.

Kini, pengurusan Selangor perlu mengambil langkah drastik sebelum situasi menjadi lebih parah buat juara 33 kali Piala Malaysia ini bagi mengharungi baki saingan musim ini.

Sehingga ke hari ini saya sebenarnya tidak faham mengapa jurulatih Jerman ini dipertaruhkan Selangor kerana tiada apa yang hebat dengan pencapaian lalunya sebagai jurulatih.

Begitu juga rakan senegaranya, Karsten Neitzel yang mengendalikan pasukan musim lalu.

Kedua-dua mereka lebih banyak mengendalikan pasukan liga bawahan Jerman walaupun, Nietzel mempunyai pengalaman selaku penolong jurulatih beberapa kelab yang pernah ke saingan Bundesliga seperti VFL Bochum dan SC Freiburg.

Difahamkan, Feichtenbeiner dan Neitzel menerapkan corak permainan tekanan tinggi atau high pressing dan tekanan awal (early pressing) yang mirip corak permainan Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Memang ia begitu efektif buat Liverpool di saingan Premier League, namun ia mengambil mereka empat musim sebelum menjulang kejuaraan liga dan mereka mempunyai pemain-pemain berkelas dunia untuk bermain dengan kaedah tersebut.

Saya tidak memerlukan lesen kejurulatihan untuk mengatakan aksi hambar Selangor musim ini adalah kerana pemain gagal memberikan aksi terbaik jika bermain high & early pressing yang memerlukan tahap kecergasan yang cukup tinggi.

Dengan keadaan cuaca seperti di Malaysia, ia mungkin lebih sukar memainkan taktikal yang mengutamakan tekanan awal kepada pihak lawan dan ia terbukti dengan aksi hambar beberapa pemain Selangor musim ini.

Sudah pasti segelintir peminat tertanya-tanya, mengapa pertahanan berpengalaman dari Singapura, Safuwan Baharuddin beraksi cemerlang dengan skuad negaranya tetapi gagal konsisten bersama Selangor musim ini?

Bagi saya, Safuwan seorang pemain berkualiti yang ia terbukti apabila dia turut pernah beraksi seketika di A-League bersama Melbourne City pada 2015.

Musim ini, Selangor turut diperkuatkan tonggak tengah Jordan iaitu Baha’ Abdel Rahman. Namun selepas beberapa perlawanan, Feichtenbeiner berasa pemain yang mempunyai lebih 100 penampilan antarabangsaa itu tidak sesuai dengan perancangannya.

Kalau tak sesuai kenapa membazir mendapatkan khidmat Baha? Apakah Feichtenbeiner dan tenaga kejurulatihanya tidak mengerti membuat tinjauan bakat atau scouting dengan baik?

Ketika ini juga saya terdengar desas-desus sesetengah pemain Selangor seakan hilang keyakinan terhadap Feichtenbeiner selaku ketua jurulatih pasukan.

Satu lagi sebab mengapa saya berasa pendekatan taktikal Feichtenbeiner tidak sesuai buat Selangor adalah kerana beberapa pemain tonggak kerap mengalami kecederaan.

Sebagai seorang jurulatih import, Feichtenbeiner seharusnya sedar taktikalnya tidak menjadi dan wajar ditukar kepada corak permainan yang sesuai buat pasukannya berdasarkan kualiti pemain yang dimiliki.

Halim Shaari, R. Dinesh dan Shahrel Fikri antara yang pernah mengalami kecederaan jangka masa panjang sebelum ini dan ketika ini masih mengambil masa untuk pulih.

Jika pengurusan Selangor akhirnya menamatkan khidmat bekas jurulatih MPPJ Selangor itu, penulis secara peribadi berasa mantan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe adalah yang paling sesuai.

Kekalkan Nidzam Jamil sebagai penolong jurulatih dan biarkan mereka berdua segera melakukan usaha menambah baik pasukan dalam usaha untuk segera bangkit.

Namun itu hanya cadangan dan pandangan saya sahaja, keputusan masih terletak ditangan pengurusan Selangor dan mereka perlu memastikan sebarang lantikan yang diambil adalah yang terbaik dan tiada masa lagi untuk bereksperimen.

Penyokong berhak menerima lebih daripada apa yang mereka dapat sekarang.

Leave a Reply