Empat kemenangan, tujuh seri, Terengganu FC II (TFC II) merupakan satu-satunya pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang masih ‘kebal’ mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan musim ini.
Ketua jurulatih TFC II, Badrul Afzan Razali dalam kenyataannya kepada Media MFL menyifatkan semangat juang luar biasa ditunjukkan pemain-pemain muda menjadi ramuan utama di sebalik kejayaan pasukan.
Beliau mengakui apa yang ditunjukkan barisan pemainnya setakat ini adalah di luar jangkaannya dan berbangga kerana mereka menjadi sebuah pasukan yang sukar ditewaskan oleh mana-mana pasukan di Liga Premier.
Menurut Badrul yang juga bekas pemain Terengganu di era lewat 90-an, dia berharap pemain-pemainnya mampu mempertahankan rekod tanpa kalah itu sehingga penghujung musim selain mengekalkan kedudukan di tangga ketiga terbaik.
“Apa yang telah ditunjukkan pemain-pemain adalah lebih daripada apa yang saya cuba harapkan walaupun dalam tujuh daripada 11 perlawanan setakat ini, saya hanya boleh menggunakan dua pemain import ekoran Jordan Mintah dan Dechi N’Guessan ke skuad utama,” katanya.
“Bagaimanapun mereka menunjukkan sebaliknya dengan persembahan penuh bertenaga dalam tiap perlawanan malah tiga pemain import sedia ada, Masaki Watanabe, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic sentiasa menjadi pendorong di atas padang.”
Namun Badrul jelas gembira dengan kehadiran semula Mintah dalam beberapa perlawanan terakhir pasukan yang jelas memberi impak yang cukup ketara bagi membantu pasukan meraih keputusan positif.
Baginya cabaran yang lebih utama adalah untuk meneruskan rentak yang dibina sebaik liga bersambung pada bulan Julai nanti.
“Selain mencari sasaran mahu berada dalam kalangan tiga terbaik Liga Premier, matlamat utama saya mahu memenangi Challenge Cup yang pernah kami julang pada dua musim lalu,” katanya.
Menggunakan majoriti pemain yang purata berusia 21-24 tahun, Badrul menyifatkan ramai antara mereka berpotensi untuk diketengahkan dan bersedia beraksi dengan skuad utama jika mendapat peluang.
“Pemain tempatan paling berusia dalam pasukan adalah Suhaimi Husin yang berusia 27 tahun namun dia telah dinaikkan ke Terengganu FC bagi gantikan Rahadiazli (Rahalim) yang mendapat kecederaan selain penyerang, Ramzi Sufian, berumur 26 tahun,” ujarnya lagi.
“Yang lain rata-ratanya berusia 24 tahun ke bawah dan sememangnya objektif kami mahu melihat seberapa ramai pemain dari TFC II akan menjadi tulang belakang kepada skuad utama pada beberapa tahun akan mendatang.
“Sebahagian besar daripada mereka jadikan matlamat bermain dengan skuad utama sebagai motivasi utama yang secara tidak langsung menjadi pemangkin di sebalik prestasi TFC II.”
TFC II kini berada di belakang Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC selepas meraih empat kemenangan dan seri dalam tujuh perlawanan bagi meraih 19 mata secara keseluruhan.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Tanpa Brendan Gan, Adakah Liridon Taruhan Terbaik Sebagai ‘Pencatur’
Lee Tuck Dipilih Kerana Sudah ‘Masak’ Cara Nafuzi, Adakah Sanjar Juga Akan Kembali?