Bekas bintang Arsenal, Paul Merson mempunyai pendapat beliau tersendiri mengenai bagaimana untuk menentukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
Namun Merson tidak berpendapat ianya sukar untuk menobatkan kejuaraan kepada Liverpool, walaupun kelab dari Merseyside itu kini memiliki pendahuluan yang jauh di persada liga.
Bekas pemain tengah itu bagaimanapun berpendapat Liverpool tidak bernasib baik untuk berada di situasi ini, dan mengakui sekiranya Manchester City yang memiliki kelebihan 25 mata pada hari ini, maka tiada siapa yang peduli.
Liverpool beraksi dengan baik di saingan domestik pada musim ini dan berada di landasan terbaik menamatkan kemarau kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi 30 tahun yang lalu.
Namun penularan wabak coronavirus yang menjadi semakin teruk di Eropah menyebabkan hampir semua pertandingan bola sepak di seluruh dunia menjadi lumpuh.
Terdapat perdebatan sama ada saingan musim ini akan ditamatkan selepas penangguhan selama dua minggu dilakukan.
Pilihan semestinya untuk meneruskan saingan pada musim ini, walaupun ia mungkin bermakna jadual perlawanan akan dilanjutkan.
Menyerahkan terus kejuaraan kepada Liverpool tanpa menamatkan saingan juga dilihat sebagai salah satu pilihan.
Merson yang memiliki dua kejuaraan EPL ketika bersama Arsenal pula berpendapat ianya mustahil mengiktiraf Liverpool sebagai juara apabila masih terdapat sembilan perlawanan yang perlu dilalui pada musim ini..
“Semua orang amat jelas kelebihan 25 mata yang dimiliki oleh Liverpool. Tetapi jika saya bermain snooker dengan rakan saya esok, dan saya masih memerlukan 25 snooker untuk menang dan kemudian beliau berkata: ‘Perlawanan ini sudah tamat, tiada gunanya teruskan permainan! – untuk tempoh seminggu atau dua, saya akan berkata: ‘Tetapi saya juga mungkin boleh menang perlawanan ini!’
“Anda harus simpati dengan mereka, menunggu selama 30 tahun untuk kejuaraan. Tetapi jika ianya Manchester City yang memiliki kelebihan 25 mata itu, tidak ada orang akan peduli!.
“Ini kerana mereka telah memenangi [kerap] sebelum ini. Kelab [Liverpool] ini pula tidak pernah menang sejak 30 tahun yang lalu. Ia sudah seperti sebuah filem.
“Saya amat bersimpati dengan mereka. Walaupun anda mahu memberikan sahaja kejuaraan itu sekarang, secara matematik ia belum dimenangi.
“Saya tahu mereka pernah menang pada satu masa dahulu. Semua orang tahu itu, tetapi ia tidak sama. Ini [memberikan kejuaraan] adalah memalukan.”