Malaysia berjaya mencipta kemenangan sulung mereka bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bagi peringkat Kumpulan D dengan Republik Kyrgyz menjadi mangsa pertama Harimau Malaya.
Tampil beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya mencipta kemenangan 4-3 dengan sangat dramatik untuk mengatasi pasukan pelawat.
Gol yang terhasil pada perlawanan tersebut diledak oleh Dion Cools, jaringan sendiri pemain lawan Khristiyan Brauzman, serta pemain lincah Malaysia iaitu Faisal Halim.
Kemenangan tersebut secara tidak langsung berjaya melonjakkan lagi kedudukan ranking semasa negara untuk menjadikan Malaysia terus mendapat perhatian di Asia kini.
Walaupun mencipta kemenangan, beberapa kelemahan jelas dikesan sepanjang perlawanan tersebut berlangsung, dan berkemungkinan besar akan diubah menjadi lebih positif sebelum aksi seterusnya.
Pertahanan yang terlalu rapuh
Salah satu kelemahan paling ketara dikesan sudah tentu membabitkan posisi pertahanan negara, sehingga Malaysia dibolosi dengan tiga gol tidak sepatutnya berlaku.
Pada aksi tersebut, Kim telah menggunakan pendekatan tiga pertahanan yang membabitkan Dominic Tan, Shahrul Saad, serta Dion Cools dan ianya dianggap tidak begitu efektif.
Ketiga pemain tersebut mungkin bagus daripada segi kekuatan fizikal untuk mengatasi lawan, namun daripada segi kepantasan serta persefahaman antara satu sama lain masih lagi kurang.
Malah ada beberapa detik, susunan ketiga pemain ini begitu berselerak dan memudahkan penyerang pasukan lawan untuk cuba mengatasi mereka dan mencetuskan situasi berbahaya.
Posisi tengah begitu lompong
Awal perlawanan menyaksikan Kim menggunakan khidmat Brendan Gan serta Stuart Wilkin di posisi tengah dan ianya jelas langsung tidak berfungsi.
Kedua pemain tersebut seolah tidak wujud di posisi tengah negara, dengan keadaan menyaksikan posisi tersebut begitu mudah dieksploitasi pasukan lawan sepanjang aksi berlangsung.
Baik daripada segi bertahan atau menyerang, pada separuh masa pertama situasi seolah Malaysia bermain dengan serba kekurangan pemain berbanding lawan.
Kreativiti serangan terbatas
Kita harus berterima kasih kepada Arif Aiman Hanapi sebenarnya yang boleh dianggap sebagai satu-satunya pemain paling positif dalam merencana serangan positif buat pasukan kebangsaan.
Secara keseluruhan, Malaysia seolah tidak mempunyai idea untuk menyusup masuk ke kubu pertahanan lawan dengan setiap gerakan cuba dibina begitu mudah dipatahkan lawan.
Malah, persefahaman sesama pemain juga kurang menyakinkan dengan beberapa kali hantaran sesama mereka cuba dibuat tidak menjadi sehingga kemasukan Endrick dos Santos serta Paulo Josue berjaya mengurangkan beban kepada Arif di posisi serangan untuk menambah kreativiti diperlukan.