Wakil Pasukan Liga 1 Indonesia Bakal Jalani Kem Latihan Pusat Bersama JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas menjadi antara pasukan yang sibuk pada penghujung musim ini selain menghadapi cabaran untuk saingan Piala Malaysia 2022.

Terbaharu, mereka bakal menerima kunjungan salah satu pasukan yang bertanding dalam saingan Liga 1 Indonesia iaitu Persis Solo pada 9 November ini untuk membuat kem latihan pusat di Johor serta mengadakan aksi persahabatan bersama JDT.

Perkara ini disahkan sendiri menerusi media rasmi Persis setelah mereka menerima undangan daripada pasukan tersebut pada 4 November lalu menerusi Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim iaitu Alistair Edwards.

Disebabkan itu, Persis menyatakan rasa setuju untuk menerima undangan kelab tersebut sambil beberapa agenda lain turut dirancang sepanjang berada di sana.

Antara yang ingin dilakukan mereka adalah untuk belajar mengenai cara pengurusan kelab, melihat infrastruktur yang ada, sistem akademi, serta segala yang diperlukan untuk membentuk pasukan terbaik.

Menerusi pencapaian peringkat domestik yang sangat hebat dicapai JDT dalam beberapa musim ini, pihak pengurusan Persis menganggap banyak perkara boleh dipelajari mereka tentang cara menguruskan kelab dengan lebih profesional dalam industri bola sepak moden.

Persis juga bakal membawa seramai 26 pemain mereka untuk bergerak ke Johor bagi menjalani kem latihan pusat di sana serta dua kali aksi persahabatan.

Jurulatih Persis iaitu Leonardo Madina jelas teruja dengan perkara tersebut sambil menjelaskan barisan pemainnya kini dalam keadaan bersedia biarpun saingan liga terhenti seketika.

“Kami telah bekerja keras untuk menjaga aspek fizikal para pemain supaya mereka sentiasa bersedia, walaupun saingan liga terhenti seketika atas beberapa sebab.

“Apa yang paling penting ketika ini buat kami adalah untuk kekal fokus serta mencari gaya permainan yang sesuai sebagai identiti pasukan pada masa akan datang.

“Selain itu, kami juga memberi fokus penuh untuk memperkukuhkan jentera serangan dan menguatkan barisan pertahanan.

“Perkara ini penting kerana transisi melibatkan dua posisi tersebut mampu membuatkan kami sentiasa mendominasi perlawanan menerusi penguasaan bola dalam aksi dihadapi.

“Diberi peluang untuk menjalani latihan pusat di Johor merupakan suatu perkara yang sangat bagus kerana memberi ruang untuk kami merasai pengalaman berbeza,” jelas beliau.

Pengendali tersebut juga memuji JDT dengan menyatakan pasukan tersebut mempunyai karakter tersendiri dalam permainan serta kualiti pemain yang berbeza.

“JDT adalah pasukan besar, salah satu kelab yang sangat berpengaruh di rantau Asia Tenggara.

“Pencapaian mereka dalam meraih gelaran juara liga di Malaysia menerusi gabungan pemain tempatan dan asing yang sangat bagus merupakan sesuatu perlu dijadikan sebagai contoh,” tambah Leonardo.

Sumber:
Persis

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN