Piala Dunia seolah sepi tanpa kehadiran Afrika. Bintang-bintang bola sepak Afrika sentiasa bersinar. Asalkan berada di ruang yang tepat dan betul.
Daripada 54 pasukan yang bernaung di bawah Konfederasi Bola Sepak Afrika, cuma 13 buah negara sahaja yang berjaya layak ke pusingan Piala Dunia.
Kali ini, kami membawakan artikel eksklusif mengenai sejarah penyertaan wakil-wakil Afrika dalam sejarah Piala Dunia.
1938 – Debut sulung Afrika
Kejohanan kedua di Itali pada 1934 menyaksikan Mesir menjadi pasukan pertama layak ke Piala Dunia. Dalam pusingan kelayakan, mereka menewaskan Palestin menerusi agregat 11-2.
Mesir diundi bertemu Hungary. Hungary terikat dengan Mesir 2-2 pada separuh masa pertama ketika perlawanan di Naples.
Namun, dua gol pada separuh masa kedua yang dilepaskan penjaga gol Mesir, Masoud Kamel menyaksikan pasukan itu terkeluar daripada saingan.
1970 – Mata sulung wakil Afrika
Sejak kejohanan pada 1938, sudah 6 kali Piala Dunia menyaksikan Afrika tidak mempunyai wakil yang beraksi dalam Piala Dunia.
Pada edisi 1970 di Mexico, Maghribi telah melepasi pusingan kelayakan. Sebenarnya FIFA telah memberikan satu slot automatik untuk wakil Afrika mulai kejohanan kali ini.
Maghribi diundi dalam Kumpulan 4 bersama Jerman Barat, Peru dan Bulgaria. Maghribi tewas kepada Jerman Barat dan Peru.
Namun, mereka meraih 1 mata yang bernilai untuk dibawa pulang hasil daripada seri 1-1 ketika menentang Bulgaria.
1978 – Kemenangan berharga yang pertama
Tunisia membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia 1978.
Mereka mencuri tumpuan dunia apabila menewaskan Mexico 3-1 dalam saingan pertama Kumpulan 2. Kemudiannya, Tunisia berjaya
meraih 1 mata hasil daripada seri ketika menentang Jerman Barat.
Namun, Tunisia tewas kepada Poland yang menjadi faktor kemaraan mereka tersekat. Tunisia menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan 2 dengan mengutip 3 mata. Pada ketika itu, pasukan yang memenangi perlawanan peringkat kumpulan mendapat 2 mata.
Malah, kemenangan ke atas Mexico menjadikan mereka pasukan pertama Afrika yang menang dalam perlawanan Piala Dunia. Piala Dunia 1978 merupakan yang terakhir menyaksikan FIFA memberikan 1 tempat dari Afrika.
Mulai Piala Dunia 1982, dua wakil Afrika akan beraksi dalam kejohanan berprestij ini.
1986 – Wakil pertama Afrika ke pusingan kalah mati
Maghribi pula menjadi pasukan fokus dari Afrika untuk edisi ini. Mereka seri ketika menentang Poland dan England dalam perlawanan Kumpulan F. Kemenangan ke atas Portugal 3-1 melengkapkan episod manis skuad Afrika Barat itu.
Mereka menjuarai Kumpulan F dan dipertemukan dengan Jerman Barat dalam pusingan 16 terbaik. Tetapi, Jerman Barat menewaskan mereka melalui gol tunggal Lotthar Matthaus dalam pusingan tersebut.
1990 – Cameroon raih slot suku akhir
Piala Dunia 1990 menyaksikan Cameroon mara sejauh suku akhir.
Sewaktu aksi Kumpulan B, Cameroon berjaya menewaskan Argentina dan Romania. Walaupun mereka tewas kepada Kesatuan Soviet, mereka mara ke pusingan kalah mati kerana merangkul kedudukan sebagai juara kumpulan.
Roger Milla menjadi hero Cameroon dengan menjaringkan dua gol pada masa tambahan untuk menewaskan Colombia. Cameroon mara ke suku akhir selaku representatif pertama dari Afrika.
Gary Lineker menjadi pemisah nasib antara Cameroon dengan England. Beliau menjaringkan gol kemenangan untuk menjadikan keputusan berpihak kepada England. Cameroon tewas
kepada pasukan itu dengan 3 gol berbalas 2.
2014 – Dua panji Afrika terulung
Menariknya, dua negara Afrika telah meraih slot ke pusingan kedua. Nigeria menduduki tangga kedua Kumpulan F manakala Algeria juga menduduki kedudukan sama di Kumpulan H.
Algeria berjaya dijinakkan dengan juara ketika itu Jerman melalui gol Mesut Ozil pada masa tambahan. Pada asalnya kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada masa sebenar. Tetapi masing-masing meraih 1 gol sebelum pemain Arsenal itu mengubah keputusan permainan.
Nigeria tidak beraksi baik dengan melepaskan dua gol ketika menentang Perancis. Satu gol dijaringkan oleh pemain mereka sendiri iaitu Joseph Yobo.
Rangkuman fakta menarik
1) Piala Dunia 2010 menyaksikan 6 pasukan Afrika bertanding termasuk tuan rumah, Afrika Selatan. Ia merupakan slot terbanyak diberikan kepada benua itu dalam sejarah.
2) Sejak 1986, sekurang-kurangnya 1 wakil Afrika akan beraksi dalam pusingan 16 terbaik.
3) Hanya 3 kali sahaja pasukan Afrika mara ke suku akhir iaitu 1990 (Cameroon), 2002 (Senegal), 2010 (Ghana).
4) Cameroon 7 kali ke Piala Dunia, rekod terbanyak antara negara-negara Afrika.
5) Namun begitu, tidak pernah lagi ada wakil Afrika mara ke separuh akhir Piala Dunia.
Senarai debut negara Afrika di Piala Dunia
1934 – Mesir
1970 – Maghribi
1974 – Zaire (kini dikenali DR Congo)
1978 – Tunisia
1982 – Algeria, Cameroon
1994 – Nigeria
1998 – Afrika Selatan
2002 – Senegal
2006 – Angola, Ghana, Ivory Coast, Togo
Pasukan Afrika manakah yang menjadi kegemaran anda sepanjang kejohanan ini? Atau pemain dari Afrika manakah yang pernah menjadi kesukaan anda?
Atau apakah memori terbaik apakah yang anda kenang sepanjang penyertaan mereka dalam Piala Dunia? Kongsikan kepada kami.