Michael Edwards, Si ‘Computer Geek’ Di Sebalik Perpindahan Major Ke Liverpool

Liverpool dilihat kembali semula bersaing dalam bursa perpindahan pemain. Sebelum ini, kelab ini kerap terlepas pemain sasaran mereka daripada radar.

Di sebalik kejayaan mendapatkan pemain yang dikehendaki pengurus, nama Pengarah Sukan / Bola Sepak sentiasa menjadi orang yang di belakang tadbir.

Ini ialah Michael Edward, beliau merupakan Director of Football Liverpool yang dilantik pada November 2016. Sebelum ini Liverpool berhadapan kesukaran untuk melakukan perpindahan major dengan persaingan daripada kelab lain.

Beliau adalah orang yang ditawarkan jawatan oleh Liverpool atas nasihat Damien Commolli, salah seorang Pengarah Sukan yang berwibawa, namun entah di mana silapnya, jodoh Commolli dan Liverpool tak lama.

Dalam bursa perpindahan, ramai Pengarah Sukan yang hebat, misalnya Mislintat (kini di Arsenal), Monchi (Roma) dan juga Ralf Ragnick.

Klopp gembira dengan perlantikan Edwards yang ketika itu baru 37 tahun. Beliau memiliki rekod trek yang bagus dalam membantu menyusun semula struktur akademi. Klopp berkata:

“Perlantikan ini besar maknanya. Ia langkah positif dalam membantu kami menjadi lebih baik dan kuat dalam menguruskan proses membina dan mendapatkan bakat di pelbagai peringkat umur.”

“Ini bukan benda baru dan saya dari dulu sukakan jawatan Sporting Director ini kerana saya pernah bekerja dalam model yang sama sebelum ini. Ianya satu langkah ke hadapan.”

“Michael orang yang tepat untuk jawatan ini. Beliau ada pengetahuan, kepakaran, dan personaliti yang baik. Saya gembira apabila beliau memberitahu saya yang dia menerima tawaran tersebut.”

Michael Edwards sudah menyertai Liverpool pada 2011 dan bertugas di bahagian analitik sebagai Ketua Analisis Prestasi Liverpool.

2 tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat kepada Ketua Penilai Prestasi. Pada 2015, beliau dinaikkan pangkat lagi ke jawatan Pengarah Teknikal. Dan 2016, beliau menjawat jawatan Pengarah Sukan Liverpool.

Selepas mendapatkan Jurgen Klopp, Liverpool sedar mereka perlukan seseorang yang boleh membantu Liverpool dalam mendapatkan pemain yang dikehendaki dan diperlukan Klopp.

Dalam temu ramah Klopp sebelum ini beliau menyatakan Pengarah Sukan akan mengetuai transfer committee (jawatankuasan perpindahan) dan masih berkuasa mencari pemain untuk pasukan.

Namun Klopp mahukan dia ada hak bersuara dalam keputusan akhir. Ramai penyokong Liverpool terkejut dan mempersoalkan, adakah Transfer Commitee masih ada?

Ini kerana, dalam beberapa musim sebelum ini, jawatankuasa perpindahan pemain adalah satu halangan kepada pengurus untuk lebih bebas dalam kawalan di bursa perpindahan pemain terutama sekali Liverpool.

Namun begitu, jika ia dipacu orang yang berwibawa macam Edwards yang ada pada hari ini, sudah pastinya ia sangat membantu. Pada ketika itu tak siapa pun kenal Michael Edward.

Dalam pada masa yang sama Klopp sedar dia tak akan kekal di Liverpool selamanya. Dan kelab berhak juga mendapatkan pemain yang mereka rasakan ada nilai sama ada untuk buat perniagaan ataupun untuk dibangunkan sebagai sebagai pemain utama.

Penyokong Liverpool pasti masih ingat jawatankuasa perpindahan pada zaman Ayre? Inilah era yang memberikan mesej yang buruk kepada penyokong tentang jawatankuasa ini.

Anda bayangkan, nak dapatkan Konoplyanka pun Liverpool tak mampu. Belum lagi pemain yang lebih berprofail tinggi.

Di bawah pentadbiran Michael Edward, pemain seperti Van Dijk dan Chamberlain menolak kelab seperti Chelsea dan datang ke Liverpool.

LIVERPOOL, ENGLAND – DECEMBER 31:  Liverpool’s new signing Virgil van Dijk pictured at Melwood Training Ground on December 31, 2017 in Liverpool, England. (Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Musim lalu Fabinho menolak ke Man. United kerana mahu kekal di Monaco. Pada Januari menolak lagi beberapa tawaran kelab lain. Datang Michael Edwards kali ini, Fabinho terus menyertai Liverpool.

Ianya mungkin berkaitan masa yang sesuai pada keadaan yang sesuai. Namun harus diakui, pemain seperti Fabinho sentiasa ada e-mel daripada kelab lain untuk mendapatkan beliau.

Selain daripada pengaruh Jurgen Klopp, Edwards telah memainkan peranannya dengan baik. Dia tidak merosakkan proses seperti era Ayre. Beliau cuba memastikan proses itu berjalan selancar mungkin.

Sebagai contoh, pernah sekali, Ian Ayre, ke Fulham untuk dapatka Dempsey. Clint Dempsey bukannya Luka Modric ataupun Yaya Toure.

Fulham meletakkan harga £10 juta dan jawatankuasa perpindahan cakap setuju. Hari berikutnya, Ian Ayre meminta pengurangan harga hanya kerana Dempsey menyatakan beliau memang nak ke Liverpool.

Anda tahu tak berapa Ayre minta diskaun? £7 juta! Jadi harga Demspey hanya £3 juta. Kalau anda berada di tempat Fulham pun anda akan marah.

Transfer committee sebelum ini sangat lemah dalam mengendalikan isu seperti ini. Beberapa proses rundingan gagal sebab perkara-perkara seperti ini. Ayre pula berbangga mampu membeli Charlie Adam £4 juta.

Hal ini diakui oleh Brendan Rodgers. Pengurus dipujuk melepaskan pemain mereka untuk dijual. Rodgers setuju menjual Suarez dan Ayre berjanji untuk mendapatkan Alexis Sanchez dari Barcelona.

Apa yang berlaku, Ian Ayre telah membeli Balotelli kerana harga Sanchez boleh beli 2 pemain katanya.

Hubungan dengan Sporting Director kelab kelab lain banyak yang tegang dan feeder club/selling club mulai malas berurusan dengan Liverpool. Ini kerana Sebab sikap Ayre ni suka meminta diskaun terlau banyak.

Edwards membuktikan karisma beliau dalam membantu Klopp. Berjaya menjual Coutinho dengan harga lebih besar daripada tawaran pra musim. Ramai cakap Coutinho akan turun harga sebab dia dah tiada hati nak bermain.

Lebih baik Liverpool terima tawaran £120 juta itu sebelum ia menurun. Sebaik sahaja musim bermula, Coutinho bermain baik dan harga naik. Akhirnya dalam masa kurang 6 bulan, Liverpool menaikkan nilai Coutinho kepada £142 juta dan dia dijual pada Januari 2018. Ia adalah masa yang dirasakan paling tepat oleh Pengarah Sukan untuk menjual.

Klopp ketika itu hanya mampu berkata, beliau tiada kuasa untuk menghalang Coutinho walaupun beliau boleh sahaja mengekalkan pemain itu sehingga akhir musim. Namun selepas berbincang dengan Pengarah Sukan, kesepakatan dalam keterpaksaan dicapai.

Nombor 14

Enggan melakukan kesilapan seperti sebelum ini, Michael Edwards dan Klopp tidak terus berbelanja mencari pengganti Coutinho. Mereka kekalkan skuad yang ada dan hasilnya mereka tidak begitu terkesan dengan ketiadaan Coutinho.

Pada pra musim 2017/18, Naby Keita berjaya ditandatangani dari tangan salah seorang Sporting Director yang hebat Ralf Ragnick dengan polisi pra-kontrak setahun.

Lebih menarik Klopp menyatakan yang Michael Edwards telah menasihatkan beliau menandatangani Mohamed Salah daripad AS Roma kerana pemain itu sesuai dengan sistem permainan Klopp.

Klopp sendiri akui, data scouting beliau untuk Salah lebih bertumpu kepada kelajuan dan hantaran. Namun Mohamed Salah telah memberikan gol yang banyak dan beliau berkata: ‘itu tiada dalam data pemantauan kami’.

48 jam selepas Liverpool tewas di final UCL terus keluar nama Fabinho. Jika dahulu, penyokong Liverpool hanya mampu tengok sahaja nama-nama pemain seperti ini berpindah ke kelab lain.

Pemain muda seperti Robertson pun dalam kategori pembelian berbaloi. Mereka mendapatkan Solanke yang cemerlang di kejohanan remaja.

Sebelum ini Michael Edwards digelar computer geek oleh kawan kawan beliau kerana wajahnya yang ‘nerd’ dan gila data analitik.

Jadi, Liverpool patut melanjutkan kontrak Michael Edwards secepat mungkin. Beliau telah membantu Klopp untuk memastikan sasaran perpindahan tak lari daripada radar. Beliau jelas seorang yang ada bakat dan prospek besar dalam bidang ini.

Di bawah Edwards, Liverpool sudah berjaya mendapatkan Virgil Van Dijk, Alex Oxlade Chamberlain, Mohamed Salah, Naby Keita, Dominic Solanke, Andy Robertson, dan Fabinho.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN